
SIMANGGANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor, menziarahi keluarga Allahyarham Siee Materang di kediaman mereka di Kampung Hilir, Simanggang, semalam sebagai tanda penghormatan dan simpati atas pemergian insan yang dikasihi.
Dalam kunjungan ringkas itu, Dayang Noorazah menyampaikan ucapan takziah serta memberi sokongan moral dan semangat kepada ahli keluarga agar terus tabah menghadapi ujian kehilangan orang tersayang.
Menurut beliau, pemergian Allahyarham Siee Materang merupakan satu kehilangan besar bukan sahaja kepada keluarga, malah kepada seluruh komuniti di kawasan DUN Lingga.
“Allahyarham merupakan seorang tokoh yang banyak menyumbangkan jasa dan pandangan dalam perjalanan politik di kawasan ini. Kehilangan beliau amat dirasai dan sukar dicari ganti,” katanya.
Beliau turut meluangkan masa berbual bersama ahli keluarga Allahyarham, menyampaikan kata-kata semangat serta berkongsi kenangan dan jasa bakti Allahyarham yang telah memberi sumbangan besar kepada masyarakat setempat.
“Semoga roh Allahyarham Siee Materang dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman. Al-Fatihah,” katanya dalam satu kenyataan.
Oleh Adi Safarman