
KUCHING: Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) terus memperkukuh peranannya sebagai pemangkin pembangunan belia dan komuniti di seluruh negeri apabila berjaya melaksanakan sebanyak 244 program dan aktiviti dalam tempoh enam bulan pertama dari November 2024 hingga Jun 2025.
Presiden Saberkas merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, program-program tersebut merangkumi pelbagai skop termasuk kebajikan sosial, sukan dan rekreasi, kebudayaan, seminar, bengkel, taklimat, hal ehwal wanita, latihan kemahiran, pendidikan, serta pembangunan usahawan dan ekonomi.
“Sebanyak 244 program telah berjaya dilaksanakan oleh Saberkas dalam tempoh setengah tahun ini sahaja. Ini menunjukkan komitmen tinggi dan penglibatan aktif semua cawangan dan biro-biro yang ada di seluruh negeri Sarawak,” ujar beliau dalam sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Saberkas Negeri Sarawak ke-59, di Kuching hari ini.
Beliau menjangkakan angka tersebut akan terus meningkat kepada lebih 500 program menjelang penghujung tahun 2025 memandangkan pelbagai lagi inisiatif telah dirancang untuk dilaksanakan.
Menurutnya, program yang sedang dirancang bagi separuh tahun kedua 2025 termasuk ‘Youth Glamping’ di Layar Betong pada bulan Ogos, Kejohanan Futsal Piala Presiden Saberkas pada November, Program Literasi Kecerdasan Buatan (AI) dan Program Tunas Madani di Lundu serta Program pertanian dan sekuriti makanan, selari dengan aspirasi Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bagi memperkukuhkan keselamatan makanan negeri.
Beliau turut memuji Biro Hal Ehwal Wanita Saberkas sebagai antara biro yang paling aktif dengan pelaksanaan pelbagai program bersifat kekeluargaan dan kemasyarakatan di peringkat akar umbi.

Setakat ini dedahnya, jumlah keseluruhan ahli Saberkas telah mencecah 55,992 orang, melibatkan 494 unit dan 82 cawangan di seluruh Sarawak.
Dari segi kedudukan kewangan, Saberkas ujarnya kekal stabil dengan pengurusan aset yang cekap dan pendapatan bulanan tetap.
Laporan kewangan yang dibentangkan semasa mesyuarat menunjukkan organisasi berjaya melaburkan sebanyak RM3 juta ke dalam deposit tetap hasil lebihan dana yang tidak digunakan.
“Ini membuktikan bahawa kita mempunyai dana yang kukuh dan mencukupi untuk melaksanakan program jangka panjang yang memberi manfaat kepada rakyat,” jelas beliau.
Dalam pada itu, Saberkas turut menzahirkan komitmen terhadap usaha kemanusiaan menerusi Unit Prihatin Saberkas, yang aktif turun padang dalam misi bantuan semasa bencana seperti banjir dan kebakaran khususnya di Bintulu dan Miri pada awal tahun ini.
Dalam masa sama, beliau turut membayangkan perancangan masa depan untuk Saberkas memiliki ibu pejabat sendiri lengkap dengan dewan serbaguna yang boleh dimanfaatkan untuk aktiviti belia dan komuniti.
“Saya percaya sudah tiba masanya untuk Saberkas mempunyai ibu pejabat atas tanah sendiri, seperti Wisma Sabati yang aktif dimanfaatkan untuk pelbagai tujuan,” katanya.
-UKAS