BINTULU: Seorang pejalan kaki maut selepas dipercayai dilanggar sebuah kereta di Lampu Isyarat Penghujung Jalan Paragon, Bintulu.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu, mengesahkan mangsa dikenali sebagai Sindol Anak Pasai,74, berasal dari Rumah Ujah Engkasu Tubau, Sebauh.
“Mangsa dikatakan melintas jalan dari sebelah kiri ke kanan jalan,” katanya.
Beliau memaklumkan perkara itu dalam satu kenyataan di sini semalam.
Menurutnya, kejadian tersebut berlaku sekitar 6.00 pagi melibatkan sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi.
“Kejadian berlaku semasa kenderaan Myvi dari depan Paragon hendak ke arah Kampung Baru,” katanya.
Bagaimanapun katanya, kenderaan terbabit telah terlanggar mangsa tersebut.
“Mangsa yang cedera parah di kepala dan kaki maut di tempat kejadian,” katanya.
Tambahnya, pemandu kenderaan terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Umun Bintulu dan kes masih dalam siasatan dan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Oleh Ellie Edward