MIRI : Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas rokok dan minuman keras pelbagai jenis dipercayai seludup bernilai lebih RM1.3 juta dalam serbuan ke atas sebuah rumah di Desa Senadin di sini, semalam.
Pegawai Pemerintah Batalion 12 PGA, Superintendan Tan Hiap Seng berkata,serbuan menerusi Ops Libas itu dilakukan oleh sepasukan anggota dari Cawangan Risikan terdiri daripada dua orang pegawai dan lapan anggota pada jam 9 pagi selepas melakukan intipan selama dua jam di rumah tersebut.
Katanya, pemeriksaan yang dilakukan di rumah tersebut menjumpai 2026 kotak bir , 90 kotak arak pelbagai jenis, 6440 karton rokok putih kretek pelbagai jenama dipercayai tanpa cukai kastam disimpan di dalam rumah tersebut.
” Nilai keseluruhan rampasan termasuk cukai dianggarkan berjumlah RM1,343,352.80 dengan nilai minuman keras sebanyak RM406, 570.00 manakala rokok pula diangarkan berjumlah RM936,782.80.
“Ini adalah rampasan terbesar di Miri setakat ini dan barangan ini dipercayai diseludup masuk ke bandaraya ini menerusi laluan laut,” katanya pada sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Batalion 12 PGA di sini, semalam.
Tan berkata, tiada tangkapan dilakukan berhubung rampasan itu kerana tiada individu yang tampil menuntut barangan tersebut semasa serbuan dilakukan.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati rumah tersebut dijadikan tempat penyimpanan sementara barang seludup tersebut sebelum diedarkan ke kedai-kedai di sekitar Senadin, Kuala Baram, Permyjaya dan Lutong di sini.
“Kesemua barang yang dirampas itu diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967,” katanya.
Oleh Liong Chai Ling