
BINTANGOR: Program Perkhidmatan Bergerak Untuk Anda ‘Mobile Service 2 U’ anjuran Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Bintangor terus menjadi jambatan penting mendekati rakyat, sekali gus memperkukuh hubungan antara wakil rakyat dan komuniti setempat tanpa mengira latar belakang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong yang juga Pengerusi SUPP Bintangor, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, inisiatif tersebut merupakan antara pendekatan berkesan dalam mendekati rakyat terutama di kawasan luar bandar.
“Program ini telah dilaksanakan berkali-kali di kawasan Meradong tahun ini dan sambutan yang diterima sangat menggalakkan.
“Ia membuka ruang kepada rakyat menyuarakan masalah, di samping memberi peluang kepada kami menerangkan usaha pembangunan kerajaan yang sedang dan telah dilaksanakan kerajaan,” katanya kepada media selepas selesai program tersebut di salah sebuah kedai kopi di Taman Bintang, baru-baru ini.


FOKUS PERKHIDMATAN… Ahli-ahli SUPP Bintangor membantu penduduk setempat mengisi borang permohonan.
Katanya, antara perkhidmatan yang ditawarkan di Program Perkhidmatan Bergerak Untuk Anda termasuklah permohonan baharu Kad Emas Kenyalang (KGC), Faedah Kesihatan Warga Emas dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang dijalankan secara terbuka untuk memudahkan penduduk setempat membuat permohonan.
“Program Perkhidmatan Bergerak Untuk Anda akan diperluaskan ke rumah panjang dan kawasan luar bandar secara berperingkat mengikut zon agar lebih ramai penduduk luar bandar dapat menikmati perkhidmatan tersebut.
“Kami komited untuk memastikan rakyat di Meradong tidak terpinggir daripada arus pembangunan dan peluang kebajikan.
“SUPP Bintangor akan terus memperkasa program seumpama ini dari semasa ke semasa,” katanya.
Turut hadir Bendahari SUPP Cawangan Bintangor, Lee Ngin Soon; Ketua Pergerakan Wanita SUPP Cawangan Bintangor, Kaunselor Chieng Ming Kiong; Ketua Pergerakan Pemuda SUPP Cawangan Bintangor, Ley Chee Hua; Pemanca Yii Hee Sieng dan Kapitan Wong Leh Hee.
Oleh Earl Anek