Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Malaysia, Rusia akan tingkatkan kerjasama ekonomi – TPM Fadillah
  • SEMASA

Malaysia, Rusia akan tingkatkan kerjasama ekonomi – TPM Fadillah

Utusan Sarawak 17 hours ago
TIMBALAN Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof (tiga, kanan) berucap sebelum menikmati makan tengah hari bersama Timbalan Pengerusi Pertama Pentadbiran Rohani Umat Islam Persekutuan Rusia, Damir Vaisovich Mukhetdinov, selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Cathedral Moscow, hari ini. Foto BERNAMA

MOSCOW: Malaysia dan Rusia akan meningkatkan kerjasama ekonomi terutama dalam sektor berpotensi besar untuk diteroka termasuk industri halal, pertanian serta keterjaminan makanan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata jumlah dagangan kedua-dua negara pada 2024 masih kecil berbanding saiz ekonomi Rusia yang besar. 

Pada 2024, Rusia ialah rakan dagang kesembilan terbesar Malaysia dalam kalangan negara Eropah dengan jumlah dagangan mencecah RM11.46 bilion (AS$2.48 bilion).

Eksport utama Malaysia ke Rusia termasuk produk elektrik dan elektronik, jentera, peralatan dan alat ganti serta makanan yang diproses.

“Saya juga telah menjemput syarikat-syarikat Rusia untuk melabur di Malaysia dan mengambil peluang daripada insentif yang ditawarkan kerajaan Malaysia dalam sektor strategik seperti industri angkasa lepas, teknologi pertanian, tenaga, teknologi maklumat dan komunikasi, ekonomi digital, kewangan Islam dan industri halal,” katanya.

TIMBALAN Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof (tiga, kiri) bergambar bersama Timbalan Pengerusi Pertama Pentadbiran Rohani Umat Islam Persekutuan Rusia, Damir Vaisovich Mukhetdinov (tengah), selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Cathedral Moscow, hari ini. Turut serta, Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin (dua, kiri) dan Duta Besar Malaysia ke Rusia, Datuk Cheong Loon Lai (kiri). Foto BERNAMA

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengakhiri lawatan kerja selamat empat hari ke Rusia malam tadi.

Fadillah turut menekankan kerjasama pertanian dan keterjaminan makanan serta industri halal selain membangkitkan cadangan agar Malaysia dan Rusia bekerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan berkaitan teknologi baja dan racun serangga, kejuruteraan agro dan teknologi makanan.

“Saya turut menyentuh mengenai kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi, dan saya turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Rusia atas biasiswa yang diberikan kepada pelajar Malaysia. 

“Dalam hal ini, saya telah mencadangkan agar biasiswa berkenaan turut ditawarkan bagi sektor utama baharu muncul seperti kecerdasan buatan, data raya dan sains maklumat selari dengan transformasi industri masa kini,” katanya. 

Beliau turut menekankan mengenai kerjasama pelancongan, dengan Malaysia mengalu-alukan cadangan penerbangan terus di antara Malaysia dengan Rusia yang akan dimuktamadkan tidak lama lagi.

Bagaimanapun, Fadillah berkata Rusia turut membangkitkan isu transaksi kewangan yang sedikit sebanyak merencatkan perkembangan perdagangan dua hala Malaysia dan Rusia.

Beliau turut memberi jaminan bahawa kerajaan Malaysia menerusi agensi yang bertanggungjawab termasuk Bank Negara Malaysia akan terus memudah cara bagi memastikan kelancaran transaksi kewangan di antara kedua-dua negara.  

“Sudah tentu saya akan membawa setiap intipati perbincangan saya dengan pihak Rusia kepada perhatian Jemaah Menteri sebaik sahaja kepulangan saya ke tanah air. 

“Insya-Allah, saya yakin kerjasama Malaysia dan Rusia akan terus berkembang dengan positif dan akan memberikan manfaat kepada negara kita,” katanya.– Bernama

Continue Reading

Previous: Korea Selatan puji kepemimpinan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN
Next: ATM perlu bersedia dilengkapi teknologi pertahanan terkini – Agong

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.