
LUNDU: Sebanyak 49 cek geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) dan lima geran Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) telah diserahkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang.
Majlis Penyerahan Geran UNIFOR dan Geran MRP Dewan Undangan Negeri (DUN) Opar 2025 Fasa 3 ini turut dihadiri oleh Pemanca Allen Manium Enggang dan Penghulu Wang Ering, bersama wakil-wakil penerima dari pelbagai komuniti.
Menurut Billy, jumlah keseluruhan geran MRP yang diserahkan hari ini adalah sebanyak RM405,600, melibatkan persatuan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dan Tadika KEMAS di sekitar kawasan Parlimen Mas Gading.
Dalam masa yang sama, beliau turut menyampaikan geran UNIFOR kepada lima institusi agama pelbagai denominasi yang beroperasi dalam kawasan DUN Opar.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis berkenaan yang berlangsung hari ini.
Penerima-penerima geran UNIFOR tersebut ialah Persatuan Penganut Apostolik Kuching di Kampung Sebako, Chapel St Jacob di Kampung Temaga Dayak, Gereja St George di Kampung Bokah, Gereja St Jude di Kampung Stom Muda dan Rumah Adat Kampung Semapu, dengan jumlah keseluruhan sumbangan bernilai RM720,000.
Billy dalam pada itu menegaskan bahawa penyerahan geran-geran ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan negeri untuk memastikan pembangunan komuniti dan fasiliti awam dapat dilaksanakan secara menyeluruh serta inklusif, tanpa mengira latar belakang agama dan kaum.
-UKAS