Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Festival E-Sukan Sibu 2025 tarik 2,000 peserta, pacu sukan digital
  • SUKAN

Festival E-Sukan Sibu 2025 tarik 2,000 peserta, pacu sukan digital

Utusan Sarawak 23 hours ago
SESI gambar kenangan bersama peserta SIESF 2025 di Stadium Tertutup Sibu. Foto: Tarani Lanting

SIBU: Penganjuran Festival E-Sukan Sibu (SIESF) 2025 membuktikan komitmen berterusan Sibu dalam memperkukuh kedudukan sebagai hab utama sukan digital di wilayah tengah Sarawak.

Residen Bahagian Sibu, Abang Mohamad Porkan Abang Budiman berkata penyertaan hampir 2,000 peserta termasuk pasukan dari Thailand dan Semenanjung Malaysia jelas menunjukkan daya tarikan festival itu di peringkat serantau, sekali gus melonjakkan nama Sibu dalam landskap e-sukan negara.

“E-sukan bukan lagi sekadar hobi masa lapang, sebaliknya telah berkembang menjadi sebuah industri global yang membuka peluang baharu dalam keusahawanan digital, pembangunan bakat serta kerjaya profesional,” katanya ketika merasmikan festival berkenaan di Stadium Tertutup Sibu, di sini hari ini.

Tambahnya, penganjuran SIESF 2025 mencerminkan kesiapsiagaan Sibu dalam menyesuaikan diri dengan perkembangan pesat industri itu serta keupayaan menganjurkan acara berimpak tinggi dalam bidang digital.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa Petugas Pelancongan Bahagian Sibu (DTTG) dan Persatuan Sukan Elektronik Bahagian Sibu (SDESA) atas kejayaan menjayakan festival tersebut dengan sokongan pelbagai agensi kerajaan negeri.

Antara kementerian yang terlibat termasuk Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan; Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan; serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan.

Festival selama tiga hari yang bermula hari ini sehingga 29 Jun itu menampilkan pelbagai pertandingan permainan popular seperti PUBG Mobile, Mobile Legends: Bang Bang, Efootball Mobile dan permainan konsol, dengan tawaran hadiah keseluruhan berjumlah RM50,000.

“Ini merupakan satu insentif besar yang mampu menarik lebih ramai belia untuk menyertai dunia digital secara sihat dan kompetitif,” katanya yang juga Pengerusi DTTG Sibu.

Menurut beliau, SIESF 2025 turut diserikan dengan pelbagai acara sampingan berbentuk komuniti dan pelancongan termasuk Larian Byte Odyssey sejauh lima kilometer, Karnival Usahawan melibatkan 25 usahawan tempatan, Pameran Kerjaya dan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) serta perhimpunan Paradise Motorsport yang melibatkan penyertaan 1,000 motosikal berkuasa tinggi.

Sebuah konsert hiburan membabitkan artis tempatan dan dari Semenanjung turut memeriahkan suasana festival, menjadikan SIESF bukan sahaja medan pertandingan tetapi juga satu acara rakyat yang bersifat inklusif.

“SIESF 2025 menjadi manifestasi jelas kerjasama erat antara komuniti belia serta sektor awam dan swasta dalam membina suasana yang harmoni, berdaya saing dan penuh inspirasi,” ujarnya.

Beliau turut menyuarakan harapan agar festival itu dapat dijadikan sebagai acara tahunan tetap dalam kalendar pelancongan dan pembangunan belia Bahagian Sibu pada masa hadapan.

Oleh Tarani Lanting

Tags: Sukan

Continue Reading

Previous: Safee letak jawatan Presiden PFAM
Next: Akademi Bola Sepak Madrasah Kuching dapat suntikan semangat tajaan jersi

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.