
KUCHING: Sarawak kini bersedia dan komited sepenuhnya untuk menyertai rangkaian 229 Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) Global Geopark di seluruh dunia menerusi pencalonan Sarawak Delta Geopark, yang sedang dinilai oleh pihak UNESCO.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh, berkata penilaian yang dijalankan dari 23 hingga 26 Jun, hari ini bukan sekadar usaha meraih pengiktirafan antarabangsa, malah mencerminkan tekad Sarawak dalam memelihara warisan geologi serta memperkukuh pembangunan mampan.
“Walaupun keputusan akhir masih belum diumumkan, kami yakin Sarawak Delta Geopark berada di landasan yang tepat untuk menyertai jaringan geopark global. Kami sudah bersedia dan kami komited sepenuhnya,” katanya ketika berucap pada majlis Makan Malam Sempena Lawatan Penilaian UNESCO di Hotel Waterfront Kuching, malam tadi.
Menurutnya, Sarawak Delta Geopark bukan sekadar landskap semula jadi, tetapi turut berperanan sebagai ‘bilik darjah hidup’, arkib saintifik dan tapak warisan yang menggambarkan evolusi geologi, biodiversiti serta kepelbagaian budaya masyarakat tempatan.
Tambah beliau, pengurusan geopark ini berlandaskan falsafah UNESCO iaitu warisan geologi perlu difahami, dipelihara dan dimanfaatkan secara lestari demi kesejahteraan bersama.
Pelbagai inisiatif telah dijalankan bagi memperkukuh geopark tersebut, termasuk kerjasama dengan institusi akademik, pembangunan infrastruktur geopelancongan, sokongan kepada usahawan tempatan, dan pelaksanaan program pendidikan untuk pelajar serta belia.
“Anak muda hari ini adalah penjaga alam sekitar masa depan. Sebagaimana batuan mencatat sejarahnya, kita juga mahu kisah Sarawak dikenali dunia kisah tentang kepelbagaian, keterangkuman dan ketahanan masyarakatnya,” jelas beliau.
Len menegaskan, meskipun keputusan UNESCO belum dimuktamadkan, proses penilaian itu sendiri telah memberi kesan positif, termasuk meningkatkan kesedaran awam, memperkukuh kerjasama pelbagai pihak serta memperteguh iltizam Sarawak dalam memelihara khazanah alam dan budaya negeri.
Oleh Amanda L.