DUN: RM6.46 bilion untuk 361 projek bekalan air Sarawak

Facebook
WhatsApp
MENTERI Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada sidang DUN, hari ini.

PETRA JAYA, 19 Oktober: Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM6.46 bilion bagi melaksanakan 361 projek bekalan air menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan pembiayaan alternatif.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, sebanyak 338 projek atau 94 peratus telah siap atau berada dalam peringkat pembinaan, manakala baki projek masih dalam peringkat pra-pelaksanaan.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di Kompleks DUN, hari ini.

Bagi meneruskan pelaksanaan projek bekalan air berkenaan, sebanyak RM662.7 juta diperuntukkan pada 2026.

Beliau berkata, liputan bekalan air di seluruh Sarawak meningkat kepada 86.1 peratus berbanding 85.6 peratus pada tahun lalu, manakala liputan di kawasan luar bandar mencapai 72 peratus.

Mengulas lanjut, bagi meningkatkan liputan bekalan air dan memenuhi permintaan yang semakin meningkat, kerajaan Sarawak menyasarkan pembinaan serta naik taraf 32 loji rawatan air utama dan pembangunan rangkaian paip grid sepanjang 2,934 kilometer di seluruh negeri.

Setakat ini, sebanyak 10 loji rawatan air dan rangkaian paip grid sepanjang 561 kilometer telah siap, manakala baki 22 loji serta 2,373 kilometer rangkaian paip sedang dan akan dilaksanakan.

INFOGRAFIK peruntukan kerajaan Sarawak bernilai RM6.46 bilion bagi 361 projek bekalan air untuk meningkatkan liputan di seluruh negeri.

Di wilayah selatan yang merangkumi Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman dan Betong, sistem grid bekalan air melibatkan pembinaan serta naik taraf sembilan loji rawatan air utama dan pemasangan rangkaian paip sepanjang 1,132 kilometer.

Tiga loji rawatan air yang telah siap dinaik taraf ialah Batu Kitang 2 di Kuching berkapasiti 868 juta liter sehari, Slabi di Serian berkapasiti 110 juta liter sehari dan Bayai di Sri Aman berkapasiti 53 juta liter sehari.

Antara projek yang masih dilaksanakan ialah naik taraf Loji Rawatan Air Batu Kitang 4 di Kuching bagi meningkatkan kapasiti daripada 868 juta liter sehari kepada 968 juta liter sehari. Projek itu mencatat kemajuan fizikal sebanyak 79.1 peratus.

Sementara itu, pembinaan Loji Rawatan Air Baharu Lundu berkapasiti 20 juta liter sehari mencatat kemajuan fizikal 3.42 peratus, manakala Loji Rawatan Air Baharu Engkilili berkapasiti 75 juta liter sehari mencapai kemajuan 23.1 peratus.

Kerja menaik taraf Loji Rawatan Air Lubau di Betong bagi meningkatkan kapasiti daripada 30 juta liter sehari kepada 60 juta liter sehari mencatat kemajuan 54.9 peratus. Projek naik taraf Loji Rawatan Air Kaki Wong di Betong dengan peningkatan kapasiti daripada 30 juta liter sehari kepada 60 juta liter sehari pula masih pada peringkat awal pelaksanaan.

Bagi rangkaian paip grid di wilayah selatan, sebanyak 331 kilometer telah siap dibina, merangkumi laluan Matang-Samariang, Kuching-Bau-Lundu, Kuching-Kota Samarahan-Asajaya-Sadong Jaya-Sebangan-Sebuyau-Simunjan serta Saratok-Kabong.

Sebanyak 801 kilometer lagi rangkaian paip grid sedang dan akan dilaksanakan bagi menghubungkan kawasan di wilayah selatan serta seterusnya ke wilayah tengah.

Oleh Shikin Mahmud