
NIAH: Sebuah rumah di Kampung Masjid Sepupok di sini musnah dalam satu kejadian kebakaran yang berlaku sekitar 4.00 petang, semalam.
Menurut kenyataan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 4.09 petang.
Sepasukan anggota bomba telah digerakkan ke lokasi kejadian, yang terletak kira-kira 11 kilometer dari balai.
Operasi diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan I Jeffery Majin, diselia oleh Ladi Eni bersama enam anggota bomba.
“Setibanya di lokasi, didapati kebakaran melibatkan bahagian rumah termasuk peralatan dan stor di bahagian belakang,” katanya.
Anggota bomba segera melaksanakan operasi pemadaman menggunakan satu aliran bantu mula dan satu aliran sepanjang 300 kaki dengan satu nozel, dibantu oleh pam jentera serta sumber air dari pili bomba berdekatan. Api berjaya dipadamkan sepenuhnya.
Selepas kebakaran dikawal, pasukan bomba menjalankan pemeriksaan menyeluruh di kawasan terjejas bagi memastikan tiada sisa bara atau sumber api yang berpotensi mencetuskan kebakaran semula.
Tiada kecederaan dilaporkan dan punca kejadian masih dalam siasatan.
Oleh Adum Liu