KUANTAN: Hampir 50 pemilik bot nelayan di sini mengambil inisiatif mengedarkan ikan segar secara percuma bagi memastikan golongan terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih mempunyai sumber protein dalam menu seharian mereka.
Wakil pemilik bot itu Abdul Rahim Abdul Rahman, 56, berkata sejak dimulakan pada Khamis lepas, mereka telah mengagihkan kira-kira 7,000 kg hasil laut kepada penduduk sekitar yang diketahui mengalami masalah kewangan akibat PKP.
“Ikan yang diagihkan ialah ikan baharu daripada bot nelayan yang keluar ke laut pada tengah malam sebelumnya. Mereka selalu pulang selepas subuh dan seawal 7 pagi, kami sudah berkumpul di sini untuk membantu memasukkan ikan ke dalam plastik.
“Setiap isi rumah yang dikenal pasti akan menerima antara satu ke satu setengah kilogram hasil laut seperti ikan selayang, cencaru, selar, pelaling dan jika ada rezeki lebih, kami turut memberikan sotong,” katanya kepada pemberita di jeti Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di sini, semalam.
Abdul Rahim berkata proses membungkus yang turut dibantu pekerja bot nelayan lazimnya selesai sekitar 8 pagi dan akan terus dihantar ke kawasan sekitar daerah Kuantan dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda.
Antara kawasan yang terlibat ialah Indera Mahkota, Sungai Lembing, Cenderawasih, Kampung Tiram, Bukit Setongkol, Taman Impian dan Felda Panching dengan penerimanya terdiri daripada pelbagai latar belakang kerana ‘lapar tidak mengenal kaum atau agama’.
“Selain memberikan hasil laut secara percuma, ada pemilik bot yang membenarkan kami menggunakan tong ikan mereka secara percuma, sedangkan ia selalunya disewakan.
“Kami juga telah sepakat untuk membuat kutipan derma bagi membeli keperluan asas seperti beras dan minyak masak untuk diberikan kepada mereka yang memerlukan dalam masa terdekat,” katanya.
Abdul Rahim berkata semua pemilik bot sepakat untuk meneruskan usaha itu sehingga tamat PKP dan mereka juga mendapat kerjasama penduduk setempat yang lebih mengetahui siapa yang memerlukan bantuan berkenaan.
PKP mula dilaksanakan pada 18 Mac lepas bagi membendung penularan wabak Covid -19 dan pada Jumaat, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan lanjutan perintah itu sehingga 28 April ini. — Bernama