Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • PSG lebur impian tuan rumah
  • SUKAN

PSG lebur impian tuan rumah

Utusan Sarawak 10 hours ago

Hakimi (kanan) meraikan gol kedua PSG – Foto AFP

SEATTLE: Jaringan Khvicha Kvaratskhelia pada separuh masa pertama dan Achraf Hakimi selepas rehat membolehkan juara Eropah, Paris Saint-Germain menang 2-0 ke atas Seattle Sounders, awal pagi tadi bagi mengesahkan tempat mereka ke pusingan 16 terakhir Piala Dunia Kelab.

PSG perlu bangkit selepas tewas 0-1 kepada Botafogo dalam perlawanan terakhir Kumpulan B, dan mereka jelas terlalu kuat buat wakil MLS itu meskipun tidak bermain pada tahap terbaik.

Kvaratskhelia membuka tirai jaringan pada minit ke-35 di hadapan 50,628 penyokong di Stadium Lumen Field, gelanggang utama Sounders, apabila percubaan Vitinha yang tersasar terkena belakangnya dan melencong masuk ke gawang.

Hakimi kemudian menjaringkan gol kedua pada pertengahan babak kedua untuk memadam sebarang harapan kebangkitan daripada pasukan tuan rumah.

PSG mara selaku juara kumpulan berdasarkan perbezaan jaringan, naik dari tempat kedua selepas Botafogo tewas di saat akhir kepada Atletico Madrid dalam satu lagi perlawanan di Pasadena yang berlangsung serentak.

Juara Perancis itu kini akan berdepan naib juara Kumpulan A di Atlanta pada tengah malam Ahad, sekali gus meninggalkan pantai barat kali pertama sejak tiba di Amerika Syarikat.

“Ia bukan perlawanan yang mudah kerana padang sangat berbeza dengan apa yang kami biasa hadapi di Eropah, jadi kami tidak dapat bermain dengan kelancaran yang kami suka, tetapi kami menyesuaikan diri,” kata jurulatih PSG, Luis Enrique.

Beliau mengeluh bola ‘melantun seperti arnab’ tetapi turut memuji persembahan pasukan lawan.

“Ia satu perlawanan yang hebat, sukar buat kami, mencabar sejak awal kerana Seattle bermain sangat baik, dengan intensiti dan kualiti ketika menguasai bola dan juga ketika bertahan,” kata jurulatih dari Sepanyol itu.

Jurulatih PSG itu membuat empat pertukaran dalam kesebelasan utama susulan kekalahan kepada Botafogo dengan kapten Marquinhos, Nuno Mendes, Fabian Ruiz dan Joao Neves dibawa masuk.

Namun, Ousmane Dembélé penjaring terbanyak PSG sepanjang musim Eropah yang baru tamat dengan 33 gol dalam semua kejohanan tidak beraksi untuk kali ketiga berturut-turut selepas hadir ke kejohanan ini dengan kecederaan.

Sounders memerlukan kemenangan besar di samping kekalahan buat Atletico untuk mara ke pusingan 16, sesuatu yang sememangnya sukar untuk juara Liga Juara-Juara CONCACAF 2022 itu.

Mereka kekurangan kualiti untuk benar-benar mengancam PSG, yang hampir membuka jaringan awal menerusi rembatan padu Désiré Doué yang ditepis keluar penjaga gol tuan rumah, Stefan Frei.

Kesilapan penjaga gol PSG, Gianluigi Donnarumma pada satu ketika memberikan peluang kepada tuan rumah tetapi Jesus Ferreira gagal menyudahkannya dengan tepat.

Juara Liga Juara-Juara UEFA itu menjaringkan gol pertama 10 minit sebelum tamat separuh masa pertama apabila percubaan Vitinha di luar kotak penalti terkena belakang Kvaratskhelia sebelum melencong masuk ke dalam gawang.

Jaringan kedua hadir pada minit ke-66 selepas Doué melorongkan hantaran cantik ke sayap kiri untuk Bradley Barcola yang meluru masuk ke dalam kotak penalti sebelum disudahkan dengan tepat oleh Hakimi untuk gol ke-10nya sejak musim ini bermula. – AFP

Continue Reading

Previous: Abang Bonnie, Bryan rangkul pingat gangsa di Piala Dunia Beijing
Next: Sivasangari bermula goyah kempen Final Jelajah PSA 2024/2025

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.