
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia diniagakan rendah dalam dagangan awal hari ini berikutan pelabur menjadi lebih berhati-hati dalam persekitaran ketegangan geopolitik yang meningkat di Asia Barat, kata penganalisis.
Pada 9.07 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 13.03 mata atau 0.87 peratus kepada 1,489.71 daripada 1,502.74 semasa ditutup pada Jumaat lepas.
Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 9.55 mata kepada 1,493.19.
Pasaran secara menyeluruh negatif, dengan 479 kaunter rugi mengatasi 72 kaunter untung, 217 kaunter tidak berubah manakala 1,664 tidak diniagakan dan 39 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 246.13 juta saham bernilai RM128 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street ditutup bercampur-campur pada Jumaat lepas berikutan ketidaktentuan mengenai penurunan kadar faedah manakala ketegangan di Asia Barat yang meningkat mungkin telah menjejaskan sentimen pasaran dalam masa terdekat.
“Dengan penglibatan Amerika Syarikat (AS) dalam peperangan terhadap Iran pada Sabtu lepas, adalah menarik untuk melihat reaksi pasaran hari ini.
“Berdasarkan kemungkinan situasi tidak menentu yang meningkat, kami menjangka indeks akan berada dalam julat 1,480-1,500 hari ini dan akan terdapat pembeli saham mewah pada paras 1,480,” katanya kepada Bernama.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank merosot tujuh sen kepada RM9.59, Public Bank berkurangan tiga sen kepada RM4.18, CIMB dan CelcomDigi, masing-masing susut empat sen kepada RM6.61 dan RM3.75 manakala Tenaga Nasional dan IHH, masing-masing mendatar pada RM14.22 dan RM6.85.
Bagi saham paling aktif, Hubline, SFP Tech dan Malayan United, masing-masing berkurangan setengah sen kepada empat sen, 20.5 sen dan lima sen, MYEG merosot 1.5 sen kepada 89 sen manakala Hibiscus Petroleum naik 10 sen kepada RM1.81.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 114.56 mata kepada 11,114.43, Indeks FBMT 100 merosot 112.98 mata kepada 10,902.47 dan Indeks FBM Emas Shariah susut 122.67 mata kepada 11,078.67.
Indeks FBM 70 berkurangan 242.17 mata kepada 15,875.58 dan Indeks FBM ACE merosot 52.87 mata kepada 4,347.98.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 105.37 mata kepada 17,363.01, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan berkurangan 1.62 mata kepada 145.65 dan Indeks Perladangan merosot 45.92 mata kepada 7,174.60.
Bagaimanapun, Indeks Tenaga meningkat 13.33 mata kepada 749.04.
-Bernama