
Polis berjaya memberkas semula seorang tahanan sah yang lari di Balai Polis Sentral pada Sabtu lalu, tahanan berjaya ditahan di Jalan Terap, tengah malam tadi.
SIBU: Seorang tahanan warga Indonesia yang melarikan diri dari lokap sah di Balai Polis Sentral Sibu pada petang Sabtu lalu telah berjaya diberkas semula oleh polis, tengah malam tadi.
Menurut maklumat, tahanan tersebut ditahan di Jalan Terap sekitar 12.00 tengah malam oleh sepasukan anggota polis yang menjalankan operasi mengesan suspek.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili ketika dihubungi mengesahkan penangkapan tersebut.
Sebelum ini, beliau dalam satu kenyataan media memaklumkan bahawa tahanan berkenaan sedang direman kerana disiasat di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan rogol.
“Tahanan masih memakai pakaian lokap berwarna ungu dan bergari ketika meloloskan diri dari Balai Polis Sentral,” katanya.
Kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan melarikan diri daripada tahanan sah.
Oleh Tarani Lanting