


PERIKSA…Anggota polis trafik memeriksa kenderaan yang ditahan dalam operasi sepadu samseng jalanan di sekitar bandar raya ini dan Jalan Miri By Pass di sini, semalam.
MIRI: Sebanyak 36 keping saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam operasi bersepadu membanteras samseng jalanan di sekitar bandar raya ini dan Jalan Miri By Pass, semalam.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah, dalam satu kenyataan malam tadi berkata, operasi tersebut dijalankan oleh sepasukan anggota trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri bermula 11.00 malam hingga 3.00 pagi.
“Seramai 28 lelaki berumur antara 16 hingga 22 tahun telah diperiksa. Antara kesalahan dikesan termasuk menunggang motosikal tanpa lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, pengubahsuaian struktur motosikal dan ekzos, tiada cermin sisi, tiada nombor pendaftaran, nombor pendaftaran ‘fancy’ serta brek tidak berfungsi,” katanya.
Selain itu, sembilan motosikal turut ditahan untuk tujuan dokumentasi di bawah Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau turut menggesa orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti samseng jalanan agar menyalurkannya kepada Bilik Gerakan IPD Miri di talian 085-432222 atau ke mana-mana balai polis berhampiran.
Oleh Liong Chai Ling