
KUCHING: Sarawak mencipta sejarah baharu dalam landskap pendidikan apabila Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Demak Baru dipilih sebagai lokasi bagi jelajah sekolah pertama aplikasi Pandai di Borneo.
Aplikasi Pandai merupakan aplikasi pembelajaran digital yang bernaung di bawah ekosistem Inisiatif Pembelajaran Digital Malaysia (DELIMa) yang dibangunkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) melalui kerjasama bersama Sektor Sains Teknologi Pembelajaran (SSTP).
Dalam satu kenyataan, inisiatif ini dilaksanakan melalui Program Rakan DELIMa selama tiga hari pada 17 dan 18 Jun 2025 beserta pada 20 Jun 2025 di Sekolah Kebangsaan (SK) Tambay.
“Ia menjadi simbol permulaan bagi pengukuhan ekosistem pendidikan digital dan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam kalangan guru dan pelajar di sekolah awam seluruh Sarawak,” menurut kenyataan tersebut.
Hari pertama program menyaksikan penganjuran sesi Latihan Dalam Perkhidmatan (LADAP) khas untuk para guru yang memperkenalkan aplikasi ‘Pandai Teacher’ iaitu satu platform yang memudahkan guru mengurus soalan berasaskan format silibus KPM memantau prestasi pelajar dan memperkemas proses pengajaran serta pembelajaran digital.
Hari kedua memberi tumpuan kepada pelajar dengan sesi motivasi dan bengkel eksplorasi AI dengan pelajar diperkenalkan kepada aplikasi Pandai, yang memberi akses kepada ribuan soalan latihan, pencapaian gamifikasi, analisis pembelajaran serta penggunaan teknologi AI untuk pembelajaran kendiri.
Antara pelajar yang mendapat perhatian ialah Elqish Daniel, 16, pelajar berprestasi tinggi SMK Demak Baru yang telah menggunakan aplikasi Pandai sejak 2023.
“Saya telah menggunakan aplikasi Pandai sejak berapa tahun lalu lagi. Saya dapat lihat sendiri peningkatan dalam keputusan dan cara saya belajar,” ujarnya dalam kenyataan tersebut.
Pelancaran ini merupakan sebahagian daripada usaha menyokong agenda Sarawak melalui Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang menekankan keperluan pendidikan digital sebagai enjin pertumbuhan negeri pada masa hadapan.
Untuk makluman, aplikasi Pandai juga turut bekerjasama dengan Tabung Gagasan Ekonomi Sarawak (TEGAS) untuk menyokong inisiatif pendidikan di Sarawak, melalui penyertaan dalam SCaT Fair dan Pro-DR Roadshow yang akan berlangsung sepanjang bulan Julai dan Ogos ini.
-UKAS