
SIBU: Program Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2025 yang menawarkan pelbagai kursus pendek percuma kepada komuniti setempat berjaya menarik penyertaan lebih 400 peserta sebelum melabuhkan tirainya semalam di Kolej Komuniti Sarikei Cawangan Sibu (KKSRCS).
Program anjuran Kolej Komuniti Sarikei (KKSR) dengan kerjasama cawangan Sibu itu berlangsung selama seminggu bermula 14 Jun lalu, dengan menyediakan sebanyak 27 kursus dalam pelbagai bidang termasuk keusahawanan, sukan, teknologi, dan komunikasi.
Antara kursus yang mendapat sambutan termasuk Asas Snorkeling, Kejurulatihan Bola Tampar, Suntingan Video, Pembangunan Google Sites, Canva untuk Keusahawanan, serta kursus komunikasi dalam Bahasa Mandarin dan Bahasa Arab.
Menurut Pengarah KKSR, Norasmah Jaafar, penganjuran NTW ini sejajar dengan dasar Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) melalui inisiatif ‘TVET for All’ yang bertujuan memperluas akses latihan kemahiran kepada semua lapisan masyarakat.
“Pencapaian NTW 2025 membuktikan institusi TVET berupaya menembusi komuniti luar bandar, lebih-lebih lagi apabila ditawarkan secara terbuka dan inklusif,” katanya dalam ucapan penutupan.
Sementara itu, Nickson dalam ucapannya menyifatkan program seumpama ini sebagai bukti pentingnya kerjasama erat antara institusi pendidikan dan industri kemahiran dalam membangunkan modal insan.
“NTW bukan sekadar membuka ruang kepada pembelajaran sepanjang hayat, malah menyemai kesedaran baharu terhadap keperluan kemahiran dalam mendepani cabaran ekonomi masa depan,” ujarnya.
Program NTW 2025 di KKSRCS turut melibatkan penyertaan pelajar sekolah, lepasan SPM, usahawan mikro serta penduduk sekitar Sarikei dan Sibu, menjadikannya satu platform latihan berimpak tinggi kepada komuniti setempat.

Majlis penutupan disempurnakan oleh Ketua Cawangan HRD Corp Pejabat Sibu, Nickson Jampang yang turut menyampaikan sijil penyertaan kepada para peserta.
Oleh Tarani Lanting