
Seorang anggota tentera (depan, kedua dari kanan) menaiki kenderaan penunda yang menarik bagasi berhampiran pesawat Saudia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kualanamu, Medan, Sumatera Utara di Indonesia selepas pesawat itu dilencongkan susulan ancaman bom. - Foto AFP
JAKARTA: Satu lagi pesawat membawa ratusan jemaah haji pulang dari Asia Barat ke Indonesia hari ini dilencongkan susulan ancaman bom, kurang seminggu selepas kes pertama dilaporkan.
Penerbangan Saudia Airlines SV5688 itu berlepas dari Jeddah, Arab Saudi ke Muscat, Oman, sebelum meneruskan perjalanan ke Indonesia dan dijadualkan mendarat di Surabaya.
Bagaimanapun, Ketua Pengarah Penerbangan Awam, berkata pegawai kawalan trafik udara di Jakarta terima panggilan ancaman bom membabitkan penerbangan itu, menyebabkan pesawat dilencongkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kualanamu di Medan, pagi tadi.
Ketua Pihak Berkuasa Lapangan Terbang wilayah, Asri Santosa, dalam kenyataan pula berkata pegawai sedang memeriksa pesawat sejurus tiba, selain memaklumkan fasiliti itu beroperasi seperti biasa serta penumpang dijadual meneruskan perjalanan, esok.
Sementara itu, jurucakap polis Sumatera Utara, Ferry Walintukan, berkata semua 376 penumpang yang juga jemaah haji dari Jawa serta 13 anak kapal berada dalam keadaan selamat di lapangan terbang.
Beliau berkata, pasukan pemusnah bom dikerahkan untuk menjalankan pemeriksaan ke atas pesawat itu.
Selasa lalu, pesawat membawa 442 jemaah haji dari Arab Saudi ke Jakarta turut dilencongkan ke Medan selepas ancaman bom dihantar melalui e-mel kepada pihak berkuasa. – AFP