
SARATOK: Peruntukan berjumlah RM200,000 telah disumbangkan kerajaan Sarawak menerusi Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) kepada Tokong Fung Shan Shu Saratok.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata peruntukan yang disumbangkan itu adalah bertujuan untuk menaik taraf dan membaiki bangunan Tokong Fung Shan Shu Saratok.
“Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) melalui UNIFOR sangat komited menyalurkan bantuan kepada agama-agama lain bagi membangun dan menaik taraf rumah ibadat bagi penganut agama tersebut beribadah dengan selesa.
“Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sentiasa mengambil berat terhadap semua kaum dan agama di negeri ini yang berkhidmat kepada semua masyarakat tanpa mengira latar belakang, bangsa dan agama,” katanya.
Dalam pada itu, satu majlis ringkas penyerahan cek sumbangan daripada UNIFOR bagi tahun 2025 fasa 1 kepada Pengerusi Tokong Fung Shan Shu Saratok, Pemanca Lim Guan Ann di Tokong Fung Shan Shu Saratok hari ini.
Beliau berkata kestabilan politik serta perpaduan kaum yang erat di Sarawak membolehkan kerajaan Sarawak melaksanakan pelbagai dasar pembangunan untuk membangunkan negeri ini.
“Kemajuan ini dapat dicapai dengan berteraskan kestabilan politik di Sarawak dan kita sebagai masyarakat di negeri inu harus berganding bahu membangunkan Sarawak tidak mengira agama, kaum mahupun budaya, terutamanya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka yang masih dahagakan projek pembangunan,” ujarnya.
Oleh Adi Safarman