
SIBU: Pasukan bola jaring SJK Methodist (M) Sibu muncul juara Kejohanan Bola Jaring Majlis Sukan Sekolah Rendah (MSSR) Bawah 12 Tahun Bahagian Sibu yang berlangsung di SJK (C) Su Lai baru-baru ini.
Kemenangan bergaya 32-12 ke atas pasukan tuan rumah, SJK (C) Su Lai dalam perlawanan akhir itu sekaligus melayakkan pasukan berkenaan menyertai Kejohanan Majlis Sukan Sekolah (MSS) Sarawak yang dijadual berlangsung di Bintulu pada Ogos depan.
Tempat ketiga pula menjadi milik SK Batu 10 selepas menumpaskan SJK (C) Yee Ting dari Kanowit dengan keputusan 29-26 dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat.
Timbalan Pegawai Pendidikan Bahagian Sibu (Sektor Pembangunan Murid), Kong Chiong Hui berkata kejohanan tersebut menjadi pentas terbaik dalam mengenal pasti barisan pemain yang bakal mewakili Bahagian Sibu ke peringkat negeri nanti.
“Kita masih ada lebih sebulan untuk membuat persiapan rapi dan saya berharap para pemain yang terpilih akan memanfaatkan peluang ini sebaik mungkin dengan memberi komitmen penuh,” ujarnya semasa majlis penutupan dan penyampaian hadiah kejohanan.
Kong turut optimis bahawa Sibu mampu mempertahankan kejuaraan di peringkat negeri, selepas memenanginya dua tahun berturut-turut sebelum ini.
Beliau memaklumkan, kejohanan edisi kali ini menyaksikan penyertaan memberangsangkan dengan kehadiran 41 pasukan dari sekolah rendah sekitar Sibu, melibatkan purata 12 pemain setiap pasukan.
“Paling menggembirakan, jumlah penyertaan murid perempuan dalam kejohanan ini melebihi acara olahraga MSS. Ini satu perkembangan positif yang menunjukkan bola jaring semakin mendapat tempat di kalangan murid sekolah,” tambahnya.
Menurutnya lagi, pencapaian tersebut juga menjadi petanda baik terhadap pembangunan sukan bola jaring di peringkat negeri dan kebangsaan serta keberkesanan program pembangunan sukan di sekolah.
Kong turut merakamkan penghargaan kepada para ibu bapa yang sentiasa memberikan sokongan terhadap penglibatan anak-anak dalam aktiviti sukan yang sihat dan berfaedah.
Mengenai penganjuran kejohanan, beliau mengakui berdepan beberapa cabaran, namun tetap yakin bahawa penyertaan akan terus meningkat pada masa akan datang. Untuk rekod, lebih 50 pasukan menyertai kejohanan yang sama pada tahun lalu.
Kejohanan selama empat hari itu dianjurkan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sibu dengan kerjasama SJK (C) Su Lai dan SJK Methodist (M), melibatkan hampir 100 perlawanan sebelum melabuhkan tirai pada petang Khamis.
Oleh Tarani Lanting