MUKAH: Seorang penumpang dipercayai terperangkap selepas sebuah kapal penunda ‘tugboat’ karam di Kuala Igan dekat sini, petang semalam.
Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Mukah bergegas ke tempat lokasi setelah menerima laporan kejadian pada 3.20 petang.
Lokasi kejadian adalah berada anggaran tiga hingga empat batu nautika dari pantai Kuala Igan dan ia melibatkan seorang mangsa (penumpang kapal ‘tugboat’) manakala pemandu bot berjaya menyelamatkan diri.
Setiba di lokasi pihak bomba yang diketuai Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah , PPgB Azman Hanapis terus membuat `water surface searching’ di sekitar kawasan bot yang karam.
Menurut sumber, tiang Kapal ‘tugboat’ yang karam berkenaan kelihatan dengan tongkang yang ditunda turut masih berada di lokasi.
“Berdasarkan maklumat bekas pemilik bot tersebut (pihak ke-3), beliau menerima panggilan daripada juragan kapal melalui telefon.
“Kejadian karam berlaku sekitar 1.00 petang dan dilaporkan terdapat seorang mangsa terperangkap,” ujar Azman.
Bomba cuba mengesan juragan yang dikatakan menghubungi pihak ketiga itu dan operasi ditangguhkan pada 6.30 petang dengan nasib mangsa yang dikatakan terperangkap dalam ‘tugboat’ masih belum diketahui.