SARATOK: Kesungguhan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam meningkatkan taraf hidup rakyat terbukti melalui perubahan lanskap pembangunan di daerah Saratok termasuk kampung dan rumah panjang yang terletak di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka.
Perubahan jelas terlihat menerusi pelaksanaan pelbagai projek prasarana seperti jalan raya, jambatan, bekalan air dan elektrik sekaligus meningkatkan taraf hidup dan keselesaan penduduk di kawasan berkenaan.
Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kalaka, Kaunselor Mohamad Duri berkata usaha itu membuktikan Kerajaan Sarawak bersungguh-sungguh membela nasib rakyat terutama mereka yang tinggal di pedalaman dan luar bandar.
Menurutnya, pelaksanaan pelbagai projek pembangunan berjaya mengubah wajah DUN Kalaka seiring dengan kemajuan seperti kawasan lain di negeri ini sekali gus memperlihatkan komitmen Kerajaan Sarawak dalam membawa kemajuan kepada rakyat.
Tambah beliau, Kerajaan GPS hari ini terus komited dengan tidak lupa apa yang sudah dijanjikan dalam rencana mengubah lanskap kampung dan memenuhi aspirasi penduduk.
“Kerajaan GPS mempunyai kekuatan tersendiri dan berani membuat perubahan demi kelangsungan perjuangannya membela nasib rakyat negeri ini.
“Pembangunan dan kestabilan yang dinikmati hari ini adalah hasil perjuangan Kerajaan Sarawak yang mempunyai struktur kuat dan berjaya meletakkan perjuangannya di landasan yang betul,” katanya semasa melakukan tinjauan pelaksanaan beberapa projek di sekitar DUN Kalaka, baru-baru ini.
Mohamad berkata Kerajaan GPS selama ini sudah terbukti bersungguh-sungguh membantu rakyat dan golongan muda dengan pelbagai program pembangunan.
“Banyak pembangunan baik dari segi infrastruktur, pendidikan, peluang pekerjaan ditambah pula dengan pelbagai jenis bantuan dan subsidi dinikmati oleh masyarakat setempat.
“Kami bertekad untuk terus berdiri teguh di belakang GPS”, ujar beliau.
Justeru katanya, segala yang dirancang memerlukan kerjasama daripada masyarakat.
“Saya menagih penglibatan dan sokongan semua. Percayalah, segala perkara yang disusun atur kerajaan akan memberi kemudahan serta keselesaan bersama.
“Bersamalah kita mensyukuri pembangunan yang dibawa. Sesungguhnya Kerajaan Sarawak khususnya di bawah pentadbiran GPS pimpinan Ketua Menteri Abang Johari Tun Openg komited untuk melonjakan kawasan luar bandar,” tegasnya.
Oleh Adi Safarman