
SIBU: Penjara Pusat Sibu (PPS) menyambut perayaan Gawai Dayak 2025 dengan penuh meriah menerusi penganjuran majlis makan malam yang berwarna-warni, malam tadi. Majlis tersebut melibatkan penyertaan seluruh warga kerja PPS bersama ahli keluarga mereka.
Pengarah Penjara Pusat Sibu (PPS), Mohd Rusli Abd Rahman berkata, penganjuran sambutan ini bukan sahaja bertujuan meraikan perayaan Gawai, tetapi juga berfungsi sebagai medium penting untuk memperkukuh perpaduan antara kaum serta menghargai sumbangan dan komitmen semua kakitangan PPSn
Majlis kemudiannya diteruskan dengan persembahan tarian ngajat sebagai pembuka acara, diikuti dengan upacara perasmian yang disempurnakan oleh Mohd Rusli menerusi paluan gong sebanyak tujuh kali.
Upacara tersebut turut diserikan dengan pertunjukan bunga api yang mencetuskan suasana ceria dan penuh simbolik.
Antara acara sampingan yang turut memeriahkan majlis termasuk pertandingan gerai paling kreatif, menonjolkan kerjasama serta daya kreativiti setiap unit; pertandingan pakaian tradisional tercantik bagi kategori lelaki dan perempuan; serta pertandingan karaoke lagu Iban bertemakan Gawai menceriakan suasana.
Keseluruhan majlis berlangsung dalam suasana harmoni, ceria dan mesra, sekali gus mencerminkan semangat kekeluargaan serta memperkukuh ukhuwah dalam kalangan warga Penjara Pusat Sibu.
Turut hadir, Temenggong Stanley Gramong Bandar.
Oleh Akun Giman