
Tan Sri Azam Baki
KOTA KINABALU: Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah dan seorang lagi individu dijangka dihadapkan ke mahkamah bulan ini berhubung skandal rasuah berkaitan lesen perlombongan mineral di negeri ini.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata pihaknya dalam proses melengkapkan siasatan dengan ketiga-tiga individu berkenaan dipanggil merakamkan percakapan.
“Mereka akan didakwa di mahkamah pada bulan ini, mungkin hujung bulan… kita (SPRM) sedang mendapatkan tarikh daripada mahkamah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Teknologi, Pengurusan dan Kelestarian (ICTMS 2025) anjuran Institut Penyelidikan Perakaunan (ARI), Universiti Teknologi MARA di sini hari ini.
Ditanya mengenai ketulenan video yang tular berkaitan skandal terbabit, Azam berkata siasatan SPRM tidak hanya bergantung kepada bukti video semata-mata.
“Perkara itu tidak boleh diulas lanjut kerana ia boleh menjadi subjudis. Bukti akan diserahkan kepada pihak pendakwa raya untuk penilaian dan dibawa ke mahkamah sekiranya perlu,” katanya.
Beliau berkata siasatan suruhanjaya itu turut mengambil kira pelbagai bentuk keterangan termasuk daripada individu yang terlibat untuk mengesahkan ketulenan sebarang bukti audio visual.
Sebelum ini tular beberapa rakaman video yang didakwa perbualan berkaitan rasuah antara individu tertentu dan beberapa wakil rakyat Sabah berhubung isu perlombongan mineral di negeri itu.– BERNAMA