
KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer, Hael Husaini membuat kejutan buat peminat apabila mengumumkan bakal melangsungkan konsert solo pertamanya, Konsert Hael Husaini & Repertoire pada 8 Ogos depan.
Bintang Rocketfuel Entertainment itu dalam kenyataan, berkata konsert yang bertempat di Zepp Kuala Lumpur tersebut bakal menyajikan sebuah pengalaman seni, fesyen dan emosi yang pasti menjadi sejarah muzik tanah air.


HAEL Husaini dan Dayang Nurfaizah.
Penyanyi yang ikenali dengan vokal mantap itu berkata konsert berkenaan akan turut disertai oleh bintang sohor tanah air Dayang Nurfaizah, Nadeera, Wany Hasrita dan Nabila Razali.
Konsert Hael Husaini & Repertoire bukan sahaja akan menyajikan rangkaian lagu-lagu popular Hael dari dulu hingga kini, tetapi juga akan menmpilkan susunan muzik baharu, persembahan visual sinematik, segmen artis jemputan, dan tentu sekali peragaan fesyen eksklusif yang mencerminkan evolusi estetik Hael sendiri.



NADEERA, Wany Hasrita dan Nabila Razali.
“Saya ingin peminat yang hadir bukan hanya mendengar lagu, tetapi untuk merasai perjalanan saya, menyelami emosi saya dan menyaksikan sisi kreatif saya yang sebenar dari muzik, visual hingga fesyen,” katanya dalam kenyataan itu.
Hael berkata beliau mahu peminat yang menonton konsert itu nanti keluar dari Zepp dengan perasaan terinspirasi, puas dan bangga menjadi sebahagian daripada malam itu.
Sejak mewarnai dunia seni, Hael bukan sahaja mengukir nama sebagai juara Anugerah Juara Lagu (AJL) dua tahun berturut-turut dengan lagu ikonik seperti Jampi dan Haram (duet bersama Dayang Nurfaizah), tetapi juga mengubah landskap muzik tempatan dengan sentuhan kreatifnya sebagai pencipta lagu untuk artis-artis terkemuka.
Karyanya yang tersohor termasuk Anta Permana nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza yang bukan sahaja menjadi kegemaran rakyat Malaysia, tetapi turut mendapat penghormatan apabila dipilih oleh Pemerintah United Kingdom (UK) Raja Charles III untuk senarai rasmi diraja The King’s Music Room di Apple Music.
Peminat boleh mendapatkan tiket Konsert Hael Husaini & Repertoire di ticket2u.com.my pada harga RM258 hingga RM588. – Bernama