
LUNDU: Kampung Sungai Limo bakal menerima suntikan pembangunan infrastruktur berjumlah RM2.5 juta, termasuk RM1.8 juta yang diperuntukkan menerusi inisiatif Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) bagi pembinaan struktur rangkaian 5G di kawasan tersebut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan berkata, inisiatif ini merupakan usaha bagi menambah baik sistem telekomunikasi di kawasan tersebut.
Menurut beliau, pelaksanaan inisiatif tersebut adalah hasil daripada hubungan baik antara wakil rakyat, Pejabat Daerah dan agensi berkaitan dalam menangani isu liputan telekomunikasi di kawasan luar bandar.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Gawai Ngiling Tikai 2025 Tanjong Datu di Dewan Kampung Sungai Limo, hari ini.
Tambahnya, antara projek pembangunan lain di Kampung Sungai Limo termasuk naik taraf jeti bernilai RM200,000 dan naik taraf jalan rumah ke rumah bernilai lebih RM400,000.
Azizul turut mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM100,000 bagi kerja baik pulih Dewan Kampung Sungai Limo sebagai kemudahan komuniti setempat. –UKAS