Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Tenaga lestari Sarawak tarik perhatian dunia di Shanghai
  • SEMASA

Tenaga lestari Sarawak tarik perhatian dunia di Shanghai

Utusan Sarawak 13 hours ago
TIMBALAN Menteri Utiliti (Sarawak Energy Berhad dan Petros), Dato Ibrahim Baki merakamkan gambar kenangan bersama delegasi kerajaan Sarawak yang lain di Shanghai hari ini. Foto UKAS

SHANGHAI: Kerajaan Sarawak sekali lagi diberi penghormatan di peringkat antarabangsa apabila dijemput berkongsi agenda tenaga lestarinya pada Persidangan Tenaga Pintar dan Solar Fotovoltaik Antarabangsa 2025 bertempat di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa (NECC), Intercontinental Shanghai Hongqiao.

Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy Berhad dan Petros), Dato Ibrahim Baki yang mengetuai delegasi kerajaan Sarawak dalam rangka kerja rasmi tiga hari di China akan berucap pada persidangan tersebut bagi mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, esok.

Persidangan pameran perdagangan tenaga dan solar fotovoltaik terbesar dan paling berpengaruh di dunia yang berlangsung dari 10 hingga 13 Jun itu menarik lebih 3,000 pempamer dari 95 negara.

Ia menjadi platform antarabangsa untuk membentangkan dan membincangkan kemas kini dasar, trend pasaran serta menjalin rangkaian antara satu sama lain dan meningkatkan keterlihatan terhadap pihak berkepentingan industri dan dasar.

Persidangan tersebut mengumpul pakar terkemuka, cendekiawan, penyelidik, usahawan, wakil daripada institusi kebangsaan China yang berbeza, terlibat dalam fotovoltaik solar dan tenaga boleh diperbaharui bersama-sama dengan eksekutif kanan daripada persatuan industri solar Eropah, Asia dan Amerika untuk berkongsi pandangan mereka tentang industri.

Pada persidangan sama, kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) akan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama China Three Gorges International Ltd (CGTI) serta Shanghai Electric Power T&D Group Co. Ltd.

MoU itu bertujuan mengadakan pelbagai kajian dan kerjasama antara kerajaan Sarawak, CGTI dan Shanghai Electric dalam meneroka potensi pembangunan ladang solar terapung dengan kapasiti tidak melebihi 1,000 megawat (MW), di kawasan tadahan Loji Hidroelektrik Bakun (HEP).

Seterusnya, delegasi kerajaan Sarawak akan dibawa melawat Ibu Pejabat Elektrik Shanghai terletak di Wilayah Minhang di sini pada 11.00 pagi waktu tempatan.

Manakala pada sebelah petangnya, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SEB, Datuk Sharbini Suhaili serta delegasi kerajaan Sarawak yang lain dijadual mengadakan kunjungan hormat kepada Datuk Bandar Shanghai, Gong Zheng di Hotel Shanghai Jiushi Hengshan Grand.

Pada Rabu, Dr Sim bersama delegasi kerajaan negeri lain dijadual mengadakan lawatan ke kampus Universiti Fudan, institus penyelidikan terkemuka di negara tersebut pada 2.00 petang waktu tempatan.

Lawatan tersebut bertujuan meninjau pelbagai teknologi terkini khususnya kecerdasan buatan (AI) yang digunakan di universiti berkenaan dan meneroka peluang kerjasama strategik antara kedua pihak.

–UKAS

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Madinah urus kepulangan jemaah melalui perlepasan udara, selesai ibadah haji
Next: Kerajaan rangka dasar wajibkan pengehad kelajuan bagi kenderaan berat

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.