
PETRA JAYA: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menerima kunjungan hormat daripada Jawatankuasa Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong peringkat negeri di Astana Negeri, di sini, hari ini.
Delegasi kunjungan diketuai oleh Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Menteri Pendidikan Inovasi dan Pembangunan Bakat selaku Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Peringkat Negeri.
Kunjungan ini bertujuan untuk menyampaikan jemputan rasmi kepada Yang di-Pertua Negeri bagi menghadiri dan memeriahkan sambutan ulang tahun keputeraan rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Peringkat Negeri yang akan diadakan pada 11 hingga 14 Jun ini.
Bahagian Limbang telah terpilih sebagai lokasi sambutan pada tahun ini, sekali gus memperkukuh semangat perpaduan serta memperlihatkan penghargaan kepada seluruh rakyat di kawasan utara Sarawak.
Kunjungan ini juga mencerminkan komitmen padu kerajaan negeri dan agensi-agensi berkaitan dalam memastikan penganjuran sambutan berjalan lancar dan penuh istiadat, sejajar dengan semangat patriotisme dan taat setia kepada institusi Diraja.
Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah merakamkan penghargaan kepada seluruh delegasi atas komitmen yang tinggi dan mendoakan semoga segala persiapan dilaksanakan dengan rapi sehingga majlis berlangsung dengan jayanya.
Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr. Haji Abdul Rahman Haji Junaidi, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Dr. Juanda Jaya, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (Industri Makanan), Datuk Dr. Haji Abdul Rahman Haji Ismail dan Residen Bahagian Limbang selaku tuan rumah,Tuan Haji Unus Tambi.
Turut serta juga Pengarah Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) Dato Georgina Apphia Ngau, Pengarah Unit Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara Dato Hamdan Sharbini, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Seni Sarawak, Puan Dayang Mariana Abang Zaini, Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Awang Putrayusrie Awang Redzuan, Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Sarawak YBrs. Encik Helmi Hamid serta Timbalan Pengarah JAIS, Alfadhil Ustaz Haji Abang Borhanuddin Abang Ahmad Masuine.
-Astana Negeri Sarawak