
KOTA SAMARAHAN: Seramai 90 penerima asnaf sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Muara Tuang menerima agihan daging korban sempena program ibadah korban anjuran Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang, hari ini.
Sebanyak empat ekor lembu telah dikorbankan dalam program tersebut hasil sumbangan ADUN Muara Tuang, Dato’ Idris Buang.
Beliau turut hadir menyempurnakan simbolik penyerahan daging korban kepada para penerima asnaf dalam majlis itu.
Menurut beliau, semangat gotong-royong serta kebersamaan yang dizahirkan dalam pelaksanaan program tersebut wajar diteruskan demi manfaat komuniti setempat, khususnya golongan yang memerlukan di kawasan DUN Muara Tuang.
Majlis penyembelihan dijalankan di kebun milik Ketua Marqas Operasi DUN Muara Tuang, Aziz Mohamad, di Kampung Meranek manakala kerja-kerja melapah dan pengagihan daging korban dilakukan secara bergotong-royong di Marqas Operasi ADUN Muara Tuang.
Lebih 50 petugas terlibat dalam menjayakan program ini, melibatkan gabungan Pusat Khidmat ADUN Muara Tuang, Marqas Operasi ADUN, Saberkas Cawangan DUN Muara Tuang, pemimpin akar umbi serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Samarahan Crocodile Hunter.
–UKAS