Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • BISNES
  • Inisiatif data MCMC: Syarikat telekomunikasi beri jaminan privasi pelanggan dilindungi
  • BISNES

Inisiatif data MCMC: Syarikat telekomunikasi beri jaminan privasi pelanggan dilindungi

Utusan Sarawak 8 hours ago
GAMBAR hiasan.

KUALA LUMPUR: Syarikat telekomunikasi komited untuk melindungi data dan privasi pelanggan mereka susulan permintaan penggunaan Data Telefon Bimbit (MPD) untuk tujuan statistik rasmi oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

U Mobile Sdn Bhd menerusi satu kenyataan hari ini berkata privasi dan perlindungan data pelanggan adalah keutamaan penting syarikat itu dengan dasar dan proses yang ditetapkan untuk memastikan sebarang data yang dikongsi dianonimkan sepenuhnya, diagregatkan dan dikendalikan mengikut undang-undang dan peraturan perlindungan data yang berkenaan.

“Kami maklum tentang objektif inisiatif itu dan komited untuk bekerjasama dengan MCMC dengan memastikan standard tertinggi dalam tadbir urus data pelanggan.

“Apabila kami berkongsi MPD dengan MCMC, maklumat peribadi pelanggan yang boleh dikenal pasti tidak akan dikongsi atau diproses pada bila-bila masa,” kata syarikat itu.

U Mobile berkata ia akan terus komited untuk melindungi privasi pelanggan dan memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap peraturan dalam semua aspek pengurusan data.

Sementara itu, Telekom Malaysia Bhd (TM) menjelaskan MPD yang dikemukakan kepada MCMC adalah dalam bentuk anonim dan tidak mengandungi sebarang maklumat peribadi yang boleh dikenal pasti.

“Pengemukaan data itu dilaksanakan di bawah tadbir urus dan protokol keselamatan yang ketat, dengan pematuhan sepenuhnya terhadap dasar syarikat yang berkaitan serta undang-undang dan peraturan kawal selia negara.

“Kami terus komited dalam memastikan keselamatan dan privasi data pelanggan kekal terpelihara dengan penuh tanggungjawab dan integriti,” kata TM dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu CelcomDigi Bhd menerusi satu kenyataan berkata ia akan terus bekerjasama dengan MCMC untuk menyokong inisiatif kerajaan tanpa menjejaskan integriti data pelanggan.

“Apabila diperlukan, CelcomDigi akan memproses data yang diminta dalam persekitaran selamat kami sendiri dan menyediakan sampel terhad pada lapangan berkaitan yang terdiri daripada output dianonimkan dan diagregatkan kepada MCMC,” katanya.

YTL Communications Sdn Bhd juga mengesahkan pematuhan terhadap permintaan MCMC untuk menyerahkan rekod penggunaan rangkaian mudah alih bagi menyokong mandat kerajaan menggunakan MPD untuk tujuan statistik nasional.

“Dalam memenuhi tanggungjawab ini, YTL Communications telah mengambil langkah rapi untuk menganonimkan semua data sebelum penyerahan. Tiada maklumat yang boleh dikenal pasti secara peribadi dikongsi dan privasi pelanggan tetap menjadi keutamaan kami,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Pada 6 Jun, MCMC menjelaskan bahawa pengumpulan MPD daripada pengendali rangkaian mudah alih tidak melibatkan akses, pemprosesan atau pendedahan sebarang maklumat yang boleh dikenal pasti secara peribadi.

Suruhanjaya tersebut berkata MPD itu hanya akan digunakan untuk penjanaan statistik rasmi bagi menyokong penggubalan dasar berasaskan bukti dalam dua domain utama, iaitu sektor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan sektor pelancongan.

-Bernama

Tags: Bisnes

Continue Reading

Previous: Penangguhan sistem e- invoice beri masa peniaga sesuaikan diri
Next: Myanmar sasar eksport lebih 350,000 tan getah, tahun kewangan 2025-2026

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.