Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • GLOBAL
  • Trump pula kata Elon Musk sudah ‘hilang akal’
  • GLOBAL

Trump pula kata Elon Musk sudah ‘hilang akal’

Utusan Sarawak 14 hours ago

KENANGAN…. Salah satu pertemuan antara Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump (kiri) dan Elon Musk (kanan) di Pejabat Oval, Rumah Putih, Washington DC, AS, ketika hubungan antara mereka masih akrab. - Foto AFP

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menyifatkan Elon Musk sebagai ‘hilang akal’, namun menegaskan beliau ingin melupakan persengketaan dengan bekas sekutunya yang juga bilionair terkenal itu.

Perpecahan antara individu terkaya di dunia dan pemimpin paling berkuasa di dunia itu membawa risiko ketegangan politik serta ekonomi yang besar kepada kedua-dua pihak.

Pegawai Rumah Putih memberitahu AFP bahawa Trump membatalkan hasrat untuk menghubungi Musk, malah sedang mempertimbangkan bagi melepaskan kereta Tesla merah yang dibelinya ketika hubungan mereka masih akrab.

“Sejujurnya, saya terlalu sibuk dengan urusan China, Russia, dan Iran… saya tidak memikirkan mengenai Elon Musk. Saya hanya mengharapkan yang terbaik untuknya,” kata Trump kepada wartawan di atas pesawat Air Force One, dalam penerbangan ke kelab golf miliknya di New Jersey, semalam.

Terdahulu, Trump memberitahu stesen penyiaran AS beliau kini mahu memberi tumpuan kepada usaha meluluskan rang undang-undang (RUU) mega yang digelarnya sebagai ‘besar dan indah’ di Kongres.

RUU itu turut menjadi punca utama keretakan hubungan antara kedua-dua tokoh terbabit, selepas Musk mengkritiknya dengan keras.

Namun, pemimpin Republikan berusia 78 tahun itu tidak dapat menahan diri daripada menyindir bekas sahabatnya yang berasal dari Afrika Selatan itu ketika diminta mengulas.

“Awak maksudkan lelaki yang sudah hilang akal itu?” kata Trump dalam satu panggilan bersama ABC ketika ditanya mengenai Musk, sambil menambah bahawa beliau ‘tidak begitu berminat’ untuk berbicara dengan hartawan terbabit.

Trump kemudian memberitahu Fox News bahawa Musk sudah hilang pertimbangan.

Hanya seminggu lalu, Trump memuji Musk ketika beliau menamatkan peranannya dalam Jabatan Kecekapan Kerajaan atau Department of Government Efficiency (DOGE), selepas berkhidmat selama empat bulan.

Walaupun terdapat laporan mengenai ketegangan antara mereka, keruntuhan hubungan kedua-dua individu itu dengan sebegitu pantas mengejutkan Washington.

Pertikaian itu kemudian menjadi semakin sengit, dengan Musk melemparkan pelbagai tohmahan terhadap Trump termasuk menuduhnya, tanpa sebarang bukti, terbabit dalam fail kerajaan berkaitan ahli kewangan yang dipenjara atas kesalahan seksual, Jeffrey Epstein.

Trump membalas dengan menggunakan kuasa kerajaan AS, dan memberi amaran bahawa beliau boleh membatalkan kontrak roket serta satelit bernilai berbilion dolar milik ketua SpaceX itu.

Namun, Trump mengambil nada yang lebih sederhana semalam apabila ditanya sejauh mana beliau serius mempertimbangkan untuk membatalkan kontrak Musk.

“Ia membabitkan wang yang besar, subsidi yang besar. Jadi, kami akan pertimbangkan, hanya jika ia adil. Hanya jika ia adil untuk beliau dan juga negara,” katanya.

Musk dilaporkan turut cuba meredakan ketegangan di media sosial.

Tokoh teknologi berhaluan kanan itu menarik balik ancaman menghentikan operasi kapal angkasa Dragon miliknya, yang penting dalam misi menghantar dan membawa pulang angkasawan Agensi Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) dari Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Semalam, Musk yang biasanya lantang di platform sosialnya, X, memilih untuk tidak aktif di ruang maya.

Namun, Rumah Putih menafikan laporan bahawa perbincangan antara kedua-dua tokoh terbabit akan berlaku.

“Presiden tidak berhasrat untuk bercakap dengan Musk hari ini,” kata seorang pegawai kanan Rumah Putih. – AFP

Continue Reading

Previous: Letusan gunung berapi di Guatemala, lebih 500 orang dipindahkan
Next: Angka korban di Gaza hampiri 54,800, serangan Israel berterusan semasa Aidiladha

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.