
KUALA LUMPUR: Petarung Muay Thai negara Ahmad Nor Iman Aliff Rakib membuktikan pengorbanan bertarung pada Aidiladha berbaloi apabila meraih kemenangan di kejohanan ONE Championship dalam kategori strawweight hari ini.
Pada aksi yang berlangsung di Stadium Lumpinee Bangkok, atlet berusia 21 tahun itu menentang wakil Maghribi Elmehdi El Jamari.
Ahmad Nor Iman Aliff mengesahkan kejuaraan menerusi keputusan majoriti pengadil 3-0.
“Saya kurang sihat hari ini, jadi saya perlu tukar strategi. Saya cuba untuk lebih menghiburkan penonton malam ini,” katanya sejurus mengesahkan kemenangan hari ini.
Untuk rekod, Nor Iman Aliff kini mengumpul lapan kemenangan daripada 10 pertarungan sejak menyertai kejohanan itu pada April 2023,
Sementara itu, hasrat petarung negara Muhammad Johan Ghazali Zulfikar untuk menebus kekecewaan pada aksi lepas tidak kesampaian apabila tumpas kepada petarung Colombia-Amerika Syarikat Diego Paez dalam kategori flyweight.
Bagaimanapun, wakil negara yang mesra disapa Jojo itu tidak memberi laluan mudah kepada lawannya apabila mengheret pertarungan sehingga ke pusingan ketiga sebelum berputih mata menerusi keputusan pengadil 2-1.
-Bernama