EARL ANEK
SARIKEI: Sebanyak 16 premis kedai runcit di Julau diperiksa oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarikei berikutan terdapat laporan kenaikan harga telur ayam Gred B oleh pengguna.
Ketua KPDNHEP Sarikei, Mohamad Zawawi berkata, pemeriksaan yang dijalankan kelmarin mendapati terdapat premis kedai runcit yang menjual telur ayam Gred B dengan harga RM 10.50 hingga RM 11 untuk satu set.
“Hasil soal siasat terhadap peniaga-peniaga tersebut mendapati harga yang dijual adalah mengikut harga yang mereka dapat daripada pembekal.
“Tindakan susulan akan dilakukan untuk mendapatkan maklumat lanjut punca kenaikan harga telur ayam Gred B dari pihak pengeluar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi Utusan Sarawak, pagi semalam.
Jelasnya, pihaknya turut menjalankan pemeriksaan harga barang dan bekalan barang di setiap premis tersebut.
“Melalui pemeriksaan tersebut, kita mendapati, bekalan barang keperluan mencukupi di Pekan Julau dan tidak berlaku pembelian panik di kalangan pengguna di Julau.
“Saya berharap pengguna di luar sana terus bekerjasama dengan pihak kami dengan membuat laporan sekiranya mendapati terdapat harga barang yang dijual dengan harga yang tinggi daripada harga biasa,” ujarnya.
Bagi pengguna yang ingin menyalurkan maklumat, mereka boleh menghubungi cawangan-cawangan KPDNHEP terdekat.
“Sebarang aduan boleh disalurkan melalui talian hotline kementerian di 1-800-886-800 atau portal e-aduan KPDNHEP di http://e-aduan.kpdnhep.gov.my atau di talian Whatsapp 019-2794317 atau hadir sendiri di mana-mana pejabat Kementerian yang berhampiran supaya tindakan sewajarnya boleh diambil.
“Sepanjang tempoh PKP ini, bilik gerakan KPDNHEP Sarikei di buka dari jam 8.00 pagi hingga 6.00 petang setiap hari dan boleh dihubungi untuk menyalurkan apa-apa aduan.
“Bagi pengguna yang ingin menyalurkan aduan, sila hubungi talian PPDNHEP berdekatan seperti talian PPDNHEP Kuching 082-466052, PPDNHEP Sri Aman 083-323836, PPDNHEP Sarikei 084-657751, PPDNHEP Sibu 084-329202, PPDNHEP Kapit 084-799678, PPDNHEP Bintulu 086-332176, PPDNHEP Miri 085-412862, PPDNHEP Limbang 085-217414, PPDNHEP Mukah 084-872726 dan PPDNHEP Lawas 085-283650,” katanya lagi.