
KUALA LUMPUR: Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan dalam jajaran kecil minggu hadapan, menurut seorang penganalisis.
Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata komoditi berharga itu berkemungkinan kekal dalam julat dagangan semasanya antara AS$3,330 hingga AS$3,390 setiap auns troy.
“Bagi minggu dagangan yang baru berakhir, emas diniagakan mendatar sepanjang sesi, mencerminkan ketidaktentuan yang lebih meluas dalam pasaran mata wang. Kebelakangan ini, logam itu bergerak hampir seiring tetapi secara bertentangan dengan dolar AS.
“Sehubungan itu, pergerakan dolar perlu dipantau dengan teliti kerana ia kini menjadi faktor utama yang mempengaruhi harga emas,” katanya kepada Bernama.
Bagi asas Jumaat ke Jumaat, kontrak bulan semerta Jun 2025 meningkat kepada AS$3,371.80 setiap auns troy daripada AS$3,312.20 setiap auns troy, manakala kontrak Julai 2025 naik kepada AS$3,380.30 setiap auns troy daripada AS$3,325.90 setiap auns troy.
Kontrak Ogos 2025, September dan Oktober 2025 masing-masing mengukuh kepada US$3,393.80 setiap auns troy daripada AS$3,325.90 setiap auns troy.
Jumlah dagangan menurun kepada 241 lot daripada 256 lot yang dicatatkan pada minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka menyusut kepada 122 kontrak daripada 139 kontrak.
Menurut penetapan oleh London Bullion Market Association pada 6 Jun, harga emas fizikal berada pada AS$3,374.60 setiap auns troy.
-Bernama