
FIFA perkenal kamera badan, teknologi ofsaid untuk pengadil di Piala Dunia Kelab. - Foto AFP
PARIS: Pemakaian kamera badan oleh pengadil dan sistem pengesanan ofsaid yang dinaik taraf akan menjadi antara inovasi utama pada Piala Dunia Kelab tahun ini di Amerika Syarikat, menurut Fifa.
Buat pertama kali dalam kejohanan anjuran Fifa, pegawai perlawanan akan memakai kamera badan, dengan rakaman terpilih akan disiarkan secara langsung kepada penonton.
Versi baharu dan lebih canggih bagi teknologi ofsaid separa automatik yang menggabungkan kecerdasan buatan (AI), pelbagai kamera, dan sensor bola akan digunakan untuk mempercepat proses membuat keputusan sambil mengekalkan pengawasan VAR bagi situasi yang tipis.
“Namun, bagi situasi ofsaid yang mencabar, pembantu pengadil video masih akan mengesahkan maklumat yang diberikan oleh sistem sebelum keputusan dibuat,” kata Fifa dalam satu kenyataan.
Kejohanan yang kini berkembang kepada 32 pasukan tahun ini akan menjadi medan ujian utama bagi kedua-dua sistem itu, kata badan induk bola sepak dunia itu. – AFP