
LIMBANG: Jabatan Kerja Raya (JKR) telah dilantik sebagai agensi pelaksana bagi projek pembinaan Pusat Tingkatan Enam di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Limbang yang kini sedang rancak dilaksanakan dengan kos berjumlah RM4.5 juta.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata blok bangunan lama di SMK Limbang sedang dinaik taraf untuk dijadikan Pusat Tingkatan Enam sebagai usaha kerajaan menyediakan prasarana pendidikan terbaik bertaraf prauniversiti kepada pelajar di daerah ini.

Katanya, ketika ini JKR sudah mempunyai pelan dan reka bentuk projek tersebut yang memerlukan kemudahan beberapa blok pentadbiran, asrama, kantin selain kemudahan peralatan dan perabot.
“Tujuan menaik taraf bangunan ini adalah untuk dijadikan Pusat Tingkatan Enam Limbang. Kita mendapat peruntukan lebih kurang RM4.5 juta. Peruntukan ini disalurkan kepada Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) tetapi pihak JKR sudah membuat pelan projek.
“Saya memberitahu RECODA bahawa projek ini sebaiknya dilaksana pihak JKR. Saya mahu projek ini dilaksanakan dengan cepat dan disebabkan itu saya minta JKR kerana pihak mereka sudah mempunyai pelan untuk pengubahsuaian,” katanya ketika melakukan lawatan kerja ke tapak Pusat Tingkatan Enam di SMK Limbang hari ini.
Beliau berharap agar projek itu dapat disiapkan segera dalam menyediakan prasarana pendidikan terbaik kepada pelajar di utara negeri ini.
Pusat Tingkatan Enam berfokuskan kepada peningkatan taraf pendidikan ke arah yang lebih tinggi dan seiring dengan program prauniversiti yang lain.
Katanya, kemudahan itu penting bertujuan melahirkan pelajar dengan nilai kebolehpasaran tinggi dan berdaya saing.
Oleh Adeng Edrus