
LIMBANG: Suasana penuh kemeriahan dan keharmonian jelas terpancar di kediaman Ketua Polis Daerah Limbang, Superintenden Parum Niot, yang menganjurkan Majlis Rumah Terbuka Gawai sempena perayaan masyarakat Dayak, di Perumahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Limbang.
Majlis yang bermula sekitar 12.00 tengah hari itu diserikan dengan kehadiran pelbagai lapisan masyarakat termasuk pengamal media, yang disambut mesra oleh Superintenden Parum dan isterinya, Ann Minah Giyang, Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Limbang bersama ahli keluarga mereka.
Menambah seri sambutan, Parum dan keluarga mengenakan pakaian tradisional masyarakat Dayak, menggambarkan semangat kebersamaan serta penghormatan terhadap warisan budaya sempena Hari Gawai.
Majlis tersebut bukan sekadar meraikan perayaan, malah menjadi wadah menyemai semangat perpaduan dan silaturahim dalam kalangan warga Limbang, tanpa mengira latar belakang.
“Saya dan keluarga ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Gawai Dayak 2025 kepada semua.
“Semoga perjalanan pulang dan kembali semula ke Limbang berjalan lancar dan selamat,” ujar Parum penuh makna kepada media.
Majlis itu turut menyaksikan suasana mesra antara komuniti dan pihak berkuasa, mencerminkan keharmonian yang menjadi teras perpaduan di Bumi Kenyalang.
Oleh Adeng Edrus