
SIBU: Seorang lelaki dijatuhkan hukuman penjara selama setahun oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melupuskan empat tangki air milik jentera berat yang dipercayai barangan curi.
Tertuduh, Willie Rampai, 34, diperintahkan menjalani hukuman itu bermula dari tarikh sabitan kesalahan.
Menurut pertuduhan, Willie didakwa membantu melupuskan harta curi berupa empat unit tangki air jentera berat di sebuah rumah tidak bernombor di Jalan Sungai Pidai pada 12 Mei 2025, kira-kira 3.00 petang.
Perbuatan itu merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun, atau denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, pada 21 Mei 2025 kira-kira 1.00 petang, pengadu menerima panggilan daripada seorang pekerja yang memaklumkan tentang kehilangan beberapa barangan dari dalam stor syarikat.
Pengadu kemudian pergi ke lokasi stor di Jalan Salim Stabau dan mendapati pintunya telah dipecahkan. Pemeriksaan lanjut mendapati pelbagai barangan milik syarikat yang disimpan di dalam stor itu telah hilang dan dipercayai dicuri.
Susulan laporan polis, tertuduh ditahan pada 29 Mei 2025 kira-kira jam 2 petang. Ketika disoal siasat, Willie mengaku mengambil dan menjual empat tangki air milik syarikat tersebut.
Kejadian itu turut disaksikan oleh penjaga stor yang juga merupakan rakan sekerja tertuduh.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Insp Kumareswaran Murugan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Oleh Akun Giman