
LAWAS: Persatuan Tarik Tali Negeri Sarawak akan mengadakan beberapa program sebagai usaha mengangkat martabat sukan tarik tali merangkumi semua peringkat di Sarawak.
Presiden Persatuan Tarik Tali Negeri Sarawak Steve Lius memberitahu, sukan ini adalah sukan yang mudah diakses oleh semua lapisan masyarakat dan sering diadakan dalam acara komuniti, karnival mahupun di peringkat sekolah.
“Sukan ini menggalakkan kerja berpasukan dan kerjasama antara ahli pasukan, meningkatkan kecergasan, menyumbang kepada peningkatan kekuatan otot, daya tahan dan kebolehan kardiovaskular,” katanya ketika ditemui media selepas penyampaian hadiah tarik tali terbuka Lawas sempena Pesta Lun Bawang tahun 2025 di Kompleks Sukan Lawas hari ini.

Pada masa yang sama persatuan ini akan menganjurkan seminar pengadilan tarik tali Sarawak untuk memastikan aspek peraturan dan keselamatan atlit terlibat dapat dijaga dengan baik.
Selain itu, beliau juga mahu peraturan baru dan antarabangsa dapat diguna dalam pertandingan sebenar melibatkan pasukan-pasukan peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
“Sekarang banyak peraturan baru khususnya dalam pemakaian kasut khas dan peralatan keselamatan lain untuk menjaga keselamatan peserta yang terlibat,” tambahnya.
Oleh Adeng Edrus