KHABAROVKS: Kira-kira 10,000 penduduk Rusia berarak di bandar Khabarovsk di timur negara itu bagi membantah cara Presiden Vladimir Putin mengendalikan krisis politik dalaman.
Tunjuk perasaan yang diadakan setiap hari Sabtu sejak tiga minggu lalu itu tercetus selepas penahanan gabenor wilayah yang popular, Sergei Furgal, atas tuduhan membunuh dan kini semakin mendapat sokongan serta merebak ke wilayah lain.
Penyokongnya menyifatkan penahanan itu bermotifkan politik, sekali gus mewujudkan masalah baharu kepada pentadbiran Putin yang masih bergelut dengan pandemik Covid-19.
Gesaan menuntut Putin meletak jawatan bergema sebagai sokongan kepada Furgal yang dikatakan menjadi sasaran kerana menewaskan calon pilihan presiden dalam pemilihan pada 2018.
Pihak berkuasa berkata sekitar 6,500 penunjuk perasaan berkumpul tetapi media tempatan melaporkan lebih 20,000 menyertai protes itu.
Perarakan seumpama itu jarang berlaku di Rusia, sekali gus menyaksikan keretakan dalam pimpinan Putin yang semakin dikecam selepas meraih undi kontroversi yang memungkinkannya memegang kuasa hingga 2036.-AFP