
MAKKAH: Operasi Kecemasan Kementerian Kesihatan Arab Saudi berjaya mengurangkan secara drastik masa penghantaran ubat ke lokasi haji daripada lebih satu jam kepada hanya enam minit hasil penggunaan teknologi dron.
Langkah inovatif ini menandakan kemajuan besar dalam logistik penjagaan kesihatan dan memastikan sokongan perubatan tiba tepat pada masanya untuk jutaan jemaah.
Sebelum ini, penghantaran ubat ke lokasi tertentu semasa haji boleh mengambil masa sehingga satu jam 20 minit. Namun, dengan penggunaan dron pada tahun ini, kementerian berjaya mengurangkan masa penghantaran kepada hanya enam minit, sekali gus memastikan rawatan kritikal sampai kepada pesakit tanpa kelewatan.
“Peningkatan teknologi ini benar-benar mengubah keadaan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pelantikan & Rujukan Perubatan Arab Saudi Prof Dr Nawfal Aljerian, semasa lawatan media asing ke pusat berkenaan di Mina pada Ahad, sambil menegaskan bahawa inisiatif ini selari dengan komitmen kerajaan untuk meningkatkan perkhidmatan kesihatan semasa musim haji, antara perhimpunan tahunan terbesar dunia.
Pusat Operasi Kecemasan Kesihatan yang beroperasi di bawah Kementerian Kesihatan berfungsi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu, dengan mengintegrasikan data masa nyata daripada pelbagai hospital, klinik dan perkhidmatan ambulans.
Semua maklumat disalurkan secara langsung menerusi sistem elektronik seperti Rekod Perubatan Elektronik (EMR) dan Sistem Maklumat Hospital (HIS), membolehkan pasukan kesihatan membuat keputusan dengan pantas dan berasaskan maklumat tepat.
“Ini adalah sistem digital sepenuhnya dan bersepadu,” jelas seorang pegawai.
“Setiap penyedia perkhidmatan – daripada Kementerian Kesihatan, Pihak Berkuasa Bulan Sabit Merah, hinggalah rakan penyedia penjagaan kesihatan swasta – semuanya dihubungkan. Apabila semua pihak berada dalam satu bilik pada masa yang sama, keputusan dapat dibuat dengan lebih pantas dan terselaras.”
Sehingga 1 Jun, kementerian melaporkan lebih 81,000 perkhidmatan kesihatan telah diberikan kepada jemaah sejak bermulanya musim haji bagi tahun 1446 Hijrah.
Pusat tersebut juga menyokong pemantauan kesihatan awam, penilaian risiko dan pengaktifan segera sekiranya berlaku keperluan kecemasan.
Selain itu, jemaah boleh menghubungi talian 97 untuk pertanyaan berkaitan kesihatan, yang akan menghubungkan mereka terus kepada perkhidmatan yang paling sesuai.
Pusat Operasi Keselamatan Bersepadu (911) yang bekerjasama rapat dengan kementerian pula menjawab panggilan dalam tempoh kurang dua saat, dan menyampaikan laporan kepada pasukan khas dalam masa 45 saat.
Sistem ini boleh mengendalikan panggilan dalam hampir semua bahasa utama dunia, memastikan setiap jemaah – tanpa mengira kewarganegaraan – menerima bantuan yang diperlukan.
Ketika suhu meningkat sepanjang musim haji, pegawai kesihatan menggesa para jemaah agar mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan penyakit berkaitan haba.
“Nasihat saya kepada semua jemaah: berehatlah apabila boleh, elakkan cahaya matahari secara langsung, gunakan payung, minum banyak air dan nikmatilah ibadah haji anda,” kata pegawai itu.
Usaha menyeluruh dan terselaras yang diterajui Kementerian Kesihatan ini bertujuan memastikan jemaah mendapat akses kepada penjagaan kesihatan berkualiti tinggi, memperkukuh kesiapsiagaan pencegahan dan sistem tindak balas pantas, serta melindungi kesihatan dan keselamatan semua jemaah.
Perkhidmatan ini merupakan sebahagian daripada visi kesihatan lebih luas Kerajaan Arab Saudi di bawah Program Transformasi Sektor Kesihatan dan Program Pengalaman Jemaah, dua inisiatif utama yang lahir daripada Wawasan 2030 Saudi.
Inisiatif ini bertujuan menyediakan perkhidmatan kesihatan cemerlang bagi menjamin kesejahteraan dan keselesaan jemaah ketika menunaikan ibadah dengan selamat dan tenang.
Data yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan menunjukkan hampir 49,000 jemaah menerima rawatan di pusat kesihatan utama, manakala jabatan kecemasan mengendalikan lebih 19,000 kes.
Klinik pesakit luar menerima hampir 1,000 pesakit, dan lebih 3,500 individu dimasukkan ke hospital, termasuk 1,730 ke unit rawatan rapi (ICU).
Selain itu, sistem penjagaan kesihatan berjaya melaksanakan 120 prosedur kateter jantung dan 11 pembedahan jantung terbuka.
Sementara itu, pasukan perubatan lapangan bertindak pantas dan berkesan menangani 25 kes keletihan haba, dibantu oleh peralatan canggih dan petugas terlatih sebagai sebahagian daripada sistem kesihatan lapangan yang sangat responsif, bagi memastikan rawatan segera dan melindungi jemaah semasa menjalani ibadah.
Sistem kesihatan kekal beroperasi pada kapasiti penuh, dipandu oleh perancangan proaktif dan rangkaian perkhidmatan berkualiti tinggi yang bersepadu sepenuhnya.
Dengan penggabungan teknologi dron, pembuatan keputusan berasaskan kecerdasan buatan, dan perkhidmatan 24 jam, pasukan kesihatan dan keselamatan Arab Saudi kini memperlihatkan tahap kesiapsiagaan dan inovasi baharu dalam usaha melindungi kesihatan dan keselamatan Tetamu Allah.
-Bernama