

OPERASI CEGAH KHAS… Operasi Cegah Khas dilaksanakan bagi membanteras penyalahgunaan dadah. Foto Facebook AADK Sarawak
SARIKEI: Seramai 44 individu telah ditahan dalam Operasi Cegah Khas yang dilaksanakan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sarawak di sekitar Daerah Sarikei bermula 26 hingga 28 Mei 2025.
AADK Sarawak berkata, daripada jumlah tersebut, 37 individu disahkan positif dadah jenis methamphetamine, terdiri daripada 31 lelaki dan enam wanita, termasuk tiga bekas penjawat awam.
Katanya, operasi tersebut diketuai oleh Pegawai AADK Bahagian Sarikei, Dalin Nani George, melibatkan anggota daripada AADK Sarawak dan AADK Daerah Sarikei, sokongan pelbagai jabatan atau agensi penguatkuasaan lain termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), RELA, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK).
“Kesemua individu yang didapati positif dadah disiasat di bawah Seksyen 3(1)(a), Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983, manakala dua individu lagi diserahkan kepada PDRM untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 12(2), Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Bagi memastikan isu penyalahgunaan dadah di negeri ini sentiasa diselia dan dikawal dari berleluasa, pihak AADK akan melaksanakan operasi cegah, kesan malah operasi berskala besar dan berkala dilaksanakan dari masa ke masa,” katanya dalam satu kenyataan di laman sosial Facebook rasminya.
Tambahnya, kerjasama dari semua pihak amat diperlukan bagi memastikan keadaan keselamatan di kawasan kependudukan dan komuniti sentiasa terhindar dari gejala tidak sihat ini.
Oleh Earl Anek