Rumah tidak berpenghuni musnah dalam kebakaran di Jalan Satok

Facebook
WhatsApp
OPERASI PEMADAMAN… Anggota bomba dari BBP Padungan giat menjalankan operasi pemadaman kebakaran melibatkan sebuah rumah tidak berpenghuni dua tingkat di Jalan Satok, awal pagi tadi. Foto BOMBA

KUCHING: Sebuah rumah tidak berpenghuni dua tingkat musnah sepenuhnya dalam satu insiden kebakaran awal pagi tadi di Jalan Satok, berhampiran lampu isyarat berdekatan premis Celcom.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 4.31 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padungan digerakkan ke lokasi sejauh sekitar lima kilometer.

MUSNAH… Keadaan sebuah rumah dua tingkat yang musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Jalan Satok, awal pagi tadi. Rumah bersebelahan turut terjejas sebanyak lima peratus. Foto BOMBA

Komander Operasi, PBK I Law Kim Hin, memaklumkan pihaknya tiba di tempat kejadian enam minit kemudian dan mendapati rumah berstruktur kekal bersaiz anggaran 40×80 kaki persegi telah terbakar 100 peratus.

“Pasukan bomba segera menjalankan kerja pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan dua nozel serta bekalan air daripada pam jentera,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, usaha pantas anggota bomba berjaya mengawal api daripada merebak ke rumah bersebelahan pada 4.55 pagi, walaupun kediaman itu turut mengalami kerosakan kecil sebanyak lima peratus.

Tiada mangsa dilaporkan cedera dan kerja-kerja overhaul dilaksanakan sebaik api berjaya dipadam sepenuhnya. Operasi ditamatkan sepenuhnya pada 5.51 pagi. Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan pihak Bomba.

Oleh Amanda L.