
KUCHING: Kakitangan awam Persekutuan di Sarawak turut menikmati cuti umum tambahan berikutan langkah kerajaan Sarawak mengisytiharkan Cuti Kelepasan Am Tambahan pada Rabu, 4 Jun ini.
Setiausaha Persekutuan Sarawak, Dato Ahmad Nadzri Mohd Hassan berkata cuti tambahan ini juga termasuk untuk kakitangan Badan Berkanun Persekutuan di Sarawak.
Beliau berkata demikian dalam surat edaran untuk kakitangan Persekutuan di Sarawak bertarikh hari ini, dan salinannya turut dilihat oleh Utusan Sarawak.
Menurut Ahmad Nadzri, langkah itu adalah selaras dengan surat pengisytiharan Cuti Kelepasan Am Tambahan daripada Setiausaha Kerajaan Sarawak bertarikh 26 Mei 2025.
Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Abu Bakar Marzuki dalam pekeliling semalam mengumumkan bahawa Rabu, 4 Jun 2025 diisytiharkan sebagai Hari Kelepasan Am Tambahan bagi Perkhidmatan Awam negeri ini.
Pengisytiharan ini turut melibatkan Badan-Badan Berkanun Sarawak dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Sarawak.
Keputusan ini dibuat berikutan pertindihan sambutan Hari Gawai Dayak dan Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang jatuh pada 2 Jun 2025 (Isnin).
Hari Gawai Dayak merupakan perayaan penting bagi masyarakat Dayak yang disambut pada 1 dan 2 Jun setiap tahun, manakala Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong merupakan hari kelepasan am peringkat kebangsaan.