KUCHING: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak mencatat kejayaan besar menerusi siri operasi berterusan di bawah Op Taring Alpha, dengan rampasan barangan seludup bernilai RM6.33 juta dalam beberapa serbuan di daerah Kuching dan Serian, 22 Mei lalu.
Menurut Pegawai Memerintah PGA Sarawak, ACP Rosdi Inai, operasi tersebut melibatkan tiga tindakan penguatkuasaan berasingan oleh batalion berbeza, yang turut membawa kepada penahanan 13 individu serta rampasan ribuan karton rokok dan puluhan ribu liter minuman keras yang belum lulus cukai kastam.
“Dalam serbuan pertama kira-kira jam 12.30 tengah hari, Batalion 11 Kuching menyerbu sebuah premis yang disyaki menjadi lokasi penyimpanan barangan seludup,” jelas Rosdi.
Dalam operasi itu, enam lelaki tempatan dan seorang warga asing berumur antara 27 hingga 46 tahun telah ditahan. Turut dirampas ialah 4,881 karton rokok dan 7,599.68 liter minuman keras, bersama dua buah van. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM4.03 juta.
Kes tersebut telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 135(1)(D) Akta Kastam 1967, Akta Pengangkutan Jalan 1987, Peraturan 25(1)(N) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990, dan Seksyen 15(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.
Dalam operasi berasingan sekitar 1.30 petang hari sama, Batalion 23 Sri Aman menyerbu sebuah premis di daerah Serian dan menahan tiga lelaki tempatan berusia antara 20 hingga 39 tahun.
Rampasan melibatkan 2,466 karton rokok dan 4,015.68 liter minuman keras, dengan nilai anggaran RM1.05 juta.
Satu lagi serbuan dijalankan di kawasan sama pada 2.30 petang, yang menyaksikan tiga lagi lelaki tempatan (berusia 18 hingga 22 tahun) ditahan bersama 2,103 karton rokok dan 3,341.60 liter minuman keras.
Jumlah nilai rampasan dalam serbuan ini dianggarkan RM1.26 juta.
Rampasan dan tangkapan dari kedua-dua serbuan diserahkan kepada IPD Serian untuk tindakan lanjut, dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 135(1)(D) Akta Kastam 1967 serta peruntukan di bawah Akta Pihak Berkuasa Tempatan 1961.
Rosdi turut memaklumkan bahawa Op Taring, yang dilaksanakan sejak 1 Januari hingga 25 Mei 2025, telah merekodkan 198 kes, 310 tangkapan (234 warga tempatan, 76 warga asing), 180 kenderaan dirampas, dan jumlah keseluruhan nilai rampasan RM249.4 juta
“Kejayaan ini membuktikan komitmen berterusan PGA Sarawak dalam membanteras aktiviti penyeludupan yang menggugat keselamatan dan ekonomi negara,” tegas Rosdi.
Oleh Connie Chieng