
Kapten pasukan Manchester United, Bruno Fernandes (kiri), dan penjaga gol Manchester United, Andre Onana (kanan), tiba di hotel penginapan sebentar tadi. Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United selamat tiba di ibu kota hari ini menjelang aksi persahabatan menentang pilihan ASEAN All-Stars di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Rabu ini.
Ketibaan skuad Red Devils bimbingan Ruben Amorim dengan 32 pemain yang terbabit dalam siri jelajah pascamusim itu disambut meriah peminat tegar yang mula berkampung di sebuah hotel, di sini sejak jam 5 petang tadi.
Antara pemain yang hadir termasuk Andre Onana, Altay Bayindir dan Tom Heaton yang bermain di posisi penjaga gol.
Pemain yang bermain di posisi pertahanan membabitkan Harry Amass, Dan Armer, Diogo Dalot, Matthijs de Ligt, Patrick Dorgu, Jonny Evans, Tyler Fredricson, Ayden Heaven, Jaydan Kamason, Godwill Kukonki, Harry Maguire, Reece Munro dan Luke Shaw.
Sementara Casemiro, Toby Collyer, Bruno Fernandes (kapten), Tyler Fletcher, Sekou Kone, Kobbie Mainoo, Jack Moorhouse, Mason Mount, Jim Thwaites dan Manuel Ugarte bermain di posisi tengah.
Pemain di posisi penyerang pula terdiri daripada Alejandro Garnacho, Amad Diallo, Rasmus Hojlund, Shea Lacey, Chido Obi dan Joshua Zirkzee.
Kali terakhir Manchester United beraksi di Malaysia adalah pada siri jelajah pramusim 2009, menewaskan Pilihan Malaysia dua kali 3-2 dan 2-0, masing-masing pada 18 dan 20 Julai di Bukit Jalil.
Terdahulu, pasukan itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 6.30 petang usai perlawanan terakhir EPL musim 2024-25 dengan kemenangan ke atas Aston Villa 2-0 malam tadi.
Juara EPL 13 kali itu juga akan berkunjung ke Hong Kong untuk menentang pasukan kebangsaan negara itu di Stadium Hong Kong pada 30 Mei ini.
Lima pemain skuad kebangsaan akan menyertai ASEAN All-Stars bagi aksi menentang United iaitu Muhammad Azam Azmi Murad (Terengganu FC), Muhammad Adib Abdul Ra’op (Penang FC), Muhammad Haziq Nadzli (Perak FC), Declan Lambert (Kuala Lumpur City) dan Sergio Aguero (Sri Pahang FC).
Mereka akan dibimbing jurulatih dari Korea Selatan, Kim Sang Sik yang mengemudi Vietnam menjuarai Kejuaraan ASEAN 2024. – BERNAMA