
Peguam Besar Negeri Datuk Saferi Ali
KUCHING: Peguam Besar Negeri Datuk Saferi Ali merupakan antara lima individu yang dilantik semula sebagai Ahli Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), bagi tempoh 1 April tahun ini hingga 31 Mac 2028.
Turut dilantik ialah Setiausaha Kewangan Negeri Datuk Seri Wan Lizozman Wan Omar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Datuk Seri Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Pengarah Jabatan Kerja Raya Sarawak Dr Cassidy Morris dan Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Sarawak Awang Zamhari Awang Mahmood.
Lima lagi yang merupakan ahli baharu Dewan DBKU ialah Sih Hua Tong, Talhah @ Talha Affendi, Abdul Baderi Sahmat, Iskandar Sharkawi dan Abdul Adzim Abdul Rahman.
Majlis pelantikan tersebut disaksikan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, di Dewan Santapan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
DBKU dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pelantikan barisan Ahli Dewan yang baharu itu, memainkan peranan penting dalam pembangunan dan pengurusan Bandaraya Kuching Utara, antaranya bertindak sebagai penghubung antara masyarakat dan pihak pengurusan dari segi pembangunan fizikal dan sosial.
“Justeru, pelantikan ini selaras dengan komitmen DBKU dalam memastikan tadbir urus bandar yang lebih inklusif, telus dan responsif terhadap keperluan masyarakat,” menurut kenyataan itu.
Ahli Dewan Bandaraya Kuching Utara dilantik Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk tempoh tidak melebihi tiga tahun, selaras dengan Seksyen 6 Ordinan Bandaraya Kuching Utara 1988 (disemak 2002).
DBKU telah ditubuhkan pada 1988 serentak dengan pengisytiharan Kuching sebagai sebuah bandar raya.
Dewan ini merangkumi Datuk Bandar dan mempunyai antara lima hingga 10 ahli dewan, selaras dengan Seksyen 4 Ordinan Bandaraya Kuching Utara 1988 (disemak 2002).– BERNAMA