
LAWAS: Kerajaan Sarawak terus menunjukkan komitmen jangka panjang dalam memperkasa pendidikan dan pembangunan infrastruktur luar bandar, menjadikan Lawas sebagai pemacu utama pembangunan wilayah utara negeri ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mengumumkan beberapa inisiatif penting yang bakal mengubah landskap sosioekonomi Lawas.
Antaranya, beliau memaklumkan bahawa mulai tahun depan, pelajar Sarawak yang melanjutkan pelajaran ke universiti milik negeri tidak perlu lagi membayar yuran pengajian, kerana ia akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri.
“Kita mahu anak-anak Sarawak, termasuk dari Lawas, mendapat pendidikan terbaik tanpa beban kewangan. Pendidikan dan kemahiran adalah kunci kemajuan,” tegas beliau.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Perasmian Perahu Naga Terbuka 2025 di Tebingan Sungai Lawas pada hari ini.
Selain itu, pembangunan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Lawas, penubuhan Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) yang hampir siap, serta rancangan menaik taraf jalan raya, jambatan, lapangan terbang, pelabuhan laut dalam, sistem air, elektrik dan komunikasi turut diumumkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari itu.
“Walaupun kita di utara, kita tidak akan tertinggal. Sumber semula jadi yang kaya dan semangat perpaduan yang kukuh, Lawas boleh melangkah jauh ke hadapan,” tambah beliau.
Acara kemuncak festival termasuk perlumbaan perahu naga, pertunjukan tarian kebudayaan, dan festival makanan tempatan, yang bukan sahaja meraikan warisan budaya, tetapi juga merangsang ekonomi setempat melalui penglibatan peniaga kecil dan usahawan makanan.
Dalam pada itu, beliau turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang Pertandingan Perahu Naga Lawas 2025, dengan pasukan Landas Azam Kasihnya Warisan muncul juara dan membawa pulang RM5,000 serta piala.
Festival anjuran Persatuan Kebajikan, Kebudayaan dan Ekspedisi Kaum Cina Lawas itu disifatkan sebagai platform penting memupuk perpaduan, memperkukuh ekonomi komuniti dan memperkenal Lawas di mata pelancong serantau.
-UKAS