
Keadaan di jalan raya di New Delhi. Foto AFP
NEW DELHI: Hujan lebat dan ribut petir semalaman menjejaskan puluhan penerbangan di ibu negara India dan menyebabkan banyak kawasan dinaiki air.
Syarikat penerbangan India pada pagi Ahad mengeluarkan nasihat perjalanan dengan memberi amaran mengenai jangkaan kelewatan dalam ketibaan dan pelepasan di New Delhi.
“Ribut petir dan angin kencang malam tadi menjejaskan operasi penerbangan di beberapa bahagian utara India. Sehubungan itu, beberapa penerbangan ke dan dari hab kami di Delhi terpaksa dilencongkan. Keadaan ini mungkin menyebabkan gangguan berterusan terhadap jadual penerbangan kami sepanjang hari,” menurut Air India dalam satu kenyataan.
IndiGo pula melaporkan kesesakan di kawasan operasi pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi akibat cuaca buruk.
Jabatan Meteorologi India (IMD) memaklumkan bahawa angin kencang sehingga 82 kilometer sejam dan ribut petir telah melanda beberapa kawasan di Delhi antara 1.30 pagi dan 3 pagi Ahad.
Ini merupakan gangguan kedua akibat cuaca buruk yang menjejaskan penerbangan di utara India dalam tempoh beberapa hari.
Sebelum ini, bahagian radom sebuah pesawat IndiGo rosak selepas terkena ribut hujan batu pada Rabu.
Ketika melalui keadaan bergelora, pesawat itu dilaporkan mengalami penurunan mendadak pada kadar 8,500 kaki seminit.
Tiada kecederaan dilaporkan dan pesawat yang membawa lebih 200 penumpang itu selamat mendarat di Lapangan Terbang Srinagar, Kashmir.
— BERNAMA